Fahmi rayu penggantungan jawatan
2026-03-03 - 14:34
Fahmi Zainol mempersoalkan tindakan penggantungan atas sebab pertuduhan di mahkamah. (Gambar Facebook) GEORGE TOWN: Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, merayu keputusan PKR menggantung beliau daripada semua jawatan parti susulan pertuduhan keganasan rumah tangga. Dalam surat kepada Setiausaha Agung Fuziah Salleh, Fahmi berkata satu-satunya jawatan yang dipegangnya dalam PKR, iaitu ahli majlis pimpinan Pulau Pinang, adalah lantikan sebagai anggota ex officio, atas kapasiti wakil rakyat. Justeru, menurut Fahmi, kedudukan ‘ex officio’ beliau dalam majlis pimpinan negeri tidak seharusnya terjejas, memandangkan dia masih seorang Adun. Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan bahawa beliau belum menerima surat rasmi berhubung penggantungannya, dan membuat rayuan ini untuk memastikan proses selaras perlembagaan parti dan prinsip keadilan. Menurutnya, tiada peruntukan yang membenarkan penggantungan jawatan atas dasar pertuduhan mahkamah, maka beliau mempersoalkan tindakan penggantungan atas sebab itu. Katanya, tindakan sedemikian berpotensi mewujudkan satu duluan yang boleh digunakan terhadap pemimpin lain, sebelum dakwaan terbukti. “Keadaan ini berisiko menjejaskan prinsip keadilan asasi serta membuka ruang kepada kemungkinan manipulasi atau penyalahgunaan proses yang boleh memberi kesan kepada kestabilan dan reputasi parti,” katanya. Fahmi menggesa PKR mempertimbangkan penarikan balik penggantungan itu, dan memberi ruang kepada beliau untuk menyelesaikan dakwaan di mahkamah. Salinan surat rayuan bertarikh hari ini turut dihantar kepada Presiden Anwar Ibrahim dan timbalannya, Nurul Izzah, serta Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. PKR mengumumkan pada 1 Mac bahawa Fahmi digantung daripada semua jawatan parti sehingga kes mahkamah selesai, selepas beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya. Sementara itu, Fuziah memberitahu FMT bahawa pihaknya telah menerima dan akan menjawab surat rayuan Fahmi.