Fahami keperluan tambah kerusi DUN Sarawak, seru speaker
2026-03-22 - 13:50
Speaker DUN Sarawak, Asfia Awang Nassar, kata mustahil seorang Ahli Parlimen menjaga kawasan terlalu luas dengan berkesan. (Gambar UKAS) PETALING JAYA: Seorang pemimpin Sarawak menyeru pihak berkuasa persekutuan memahami keperluan mewujudkan lebih banyak kerusi DUN di negerinya, dengan mengambil kira faktor geografi dan keluasan selain jumlah penduduk. Speaker DUN Asfia Awang Nassar mengambil contoh Parlimen Bintulu yang merupakan antara kawasan terbesar di Sarawak dengan 120,000 pengundi; perjalanan dari Kuching ke Ba’kelalan yang perlu transit di Kota Kinabalu, Sabah; dan pemantauan di Hulu Rajang menggunakan helikopter. “Adalah mustahil bagi seorang Ahli Parlimen untuk menjaga kawasan yang terlalu luas dengan berkesan,” katanya, lapor Utusan Borneo. DUN Sarawak meluluskan satu rang undang-undang untuk menambah bilangan kawasan daripada 82 kepada 99, pada Julai tahun lepas. Asfia berkata Sarawak masih menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan persekutuan berhubung cadangan penambahan 17 kerusi baharu itu. Menerangkan prosesnya, Asfia berkata selepas laporan SPR siap, kawasan baharu perlu dipamerkan bagi tujuan bantahan awam, sebelum dibentangkan di Parlimen dan diwartakan. “Di peringkat DUN, kelulusan telah pun dibuat. Kini, ia menjadi tanggungjawab SPR untuk menjalankan kajian dan proses persempadanan semula,” katanya. Pada 8 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, berkata cadangan penambahan kerusi itu masih diteliti SPR, dan berharap proses selanjutnya dapat dipercepat. Terdapat kira-kira 600 kerusi secara keseluruhan dalam 13 DUN, sebahagian besarnya terletak di Semenanjung. Terdapat 82 kerusi DUN di Sarawak, meliputi kawasan seluas kira-kira 124,450 kilometer persegi atau 37.6% daripada jumlah keluasan tanah negara. Sabah, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 74,000 kilometer persegi, mempunyai 73 kerusi DUN. Terdapat kira-kira 450 kerusi di 11 DUN di Semenanjung, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 132,000 kilometer persegi.