TheMalaysiaTime

F1 batal GP Bahrain, Arab Saudi

2026-03-15 - 02:44

Susulan ketegangan di Asia Barat F1 membatalkan perlumbaaan di Bahrain dan Arab Saudi. (Gambar EPA Images) ISTANBUL: Formula Satu (F1) mengesahkan pada awal Ahad perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain dan Arab Saudi tidak akan berlangsung pada April berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat susulan konflik Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi. Dalam kenyataan, F1 memaklumkan beberapa alternatif telah dipertimbangkan, namun akhirnya diputuskan bahawa tiada perlumbaan gantian akan diadakan pada April. “Perlumbaan Formula 2, Formula 3 dan F1 Academy juga tidak akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan. Keputusan ini dibuat melalui rundingan penuh dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta penganjur berkaitan,” menurut kenyataan itu. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula One Group, Stefano Domenicali, berkata keputusan itu sukar namun merupakan langkah yang tepat mengambil kira situasi semasa di Asia Barat. “Bahrain dan Arab Saudi amat penting kepada ekosistem musim perlumbaan kami, dan saya berharap dapat kembali ke kedua-dua negara itu sebaik sahaja keadaan mengizinkan,” kata Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem. Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain, Sheikh Salman Isa Al Khalifa, menyatakan sokongan terhadap keputusan F1 itu serta mengucapkan terima kasih kepada FIA dan komuniti F1. Beliau berkata, Bahrain menantikan kehadiran semula peminat apabila perlumbaan F1 kembali diadakan. Pengerusi Persekutuan Automobil dan Motosikal Arab Saudi (SAMF) serta Pengerusi Saudi Motorsport Company (SMC), Putera Khalid Sultan Al-Abdullah Al-Faisal, berkata kerajaan Arab Saudi menghormati keputusan kalendar F1 2026 dan menegaskan perkongsian berterusan dengan F1. Sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lalu yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, termasuk pemimpin agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei, permusuhan semakin memuncak. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Share this post: