TheMalaysiaTime

Exco Terengganu didakwa salah guna kedudukan

2026-02-24 - 02:53

Adun Chukai Hanafiah Mat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Exco Terengganu Hanafiah Mat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya. Tertuduh yang juga exco infrastruktur, utiliti dan pembangunan luar bandar serta Adun Chukai bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustafa, lapor Harian Metro. Mengikut pertuduhan pertama, pada 15 Ogos 2020, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah. Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Ahmad Kamil Hanafiah. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman. Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi. Terdahulu, pihak SPRM memohon jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh. Namun, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim. Mahkamah menetapkan 12 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Share this post: