Exco Selangor mengaku ada pencerobohan tapi jangan label ‘kuil haram’
2026-01-26 - 08:14
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang kaum. PETALING JAYA: Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman mengakui terdapat kes pencerobohan tanah melibatkan kuil di negeri itu tetapi menegaskan bahawa status binaan seperti itu tidak boleh sewenang-wenangnya dilabelkan sebagai haram. Katanya, penggunaan istilah ‘haram’ terhadap binaan di atas tanah yang diceroboh hanya boleh ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah. “Memang kita tak boleh labelkan haram sebab kadang-kadang kewujudannya memang betul, sampai dah berusia 50 tahun memang ada tapi itu pun dilabel sebagai haram. Tak bolehlah. “Sebab itu, biar apa-apa istilah dia ditentukan oleh kerajaan, bukan individu. Biar pihak berkuasa uruskan,” katanya kepada FMT. Beliau mengulas mengenai topik kontroversi status tanah melibatkan beberapa kuil Hindu di media sosial sehingga ada yang melabelkan sebagai ‘haram’. Papparaidu menegaskan bahawa isu itu perlu ditangani secara berhemah bagi mengelakkan ketegangan dalam masyarakat. Beliau juga mengakui ada juga kuil sengaja dibina untuk menjaga kepentingan pihak tertentu sebagai contoh mereka menceroboh kawasan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk buat tempat simpanan besi buruk tetapi turut membina rumah ibadat kawasan itu. “Itu tidak boleh. Saya juga tidak boleh terima mereka bina kuil di tanah orang,” katanya. Beliau juga menasihati pemilik tanah untuk sentiasa memantau tanah mereka bagi menggelak dicerobohi pihak tertentu hingga sukar untuk diambil tindakan.