Eropah, UK, Jepun sedia jamin keselamatan laluan Selat Hormuz
2026-03-20 - 00:01
Iran digesa menghentikan segera tindakan agresif, pemasangan ranjau, serangan dron dan peluru berpandu serta cubaan lain untuk menyekat Selat Hormuz kepada kapal komersial. (Gambar EPA Images) LONDON: Pemimpin United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Jepun memberi isyarat sedia menyokong usaha memastikan laluan selamat bagi kapal komersial melalui Selat Hormuz susulan serangan oleh Iran di Teluk baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu. “Kami menyatakan kesediaan kami untuk menyumbang kepada usaha sewajarnya bagi memastikan laluan selamat melalui selat berkenaan. Kami mengalu-alukan komitmen negara terlibat dalam perancangan persediaan,” kata pemimpin itu dalam kenyataan bersama. “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan oleh Iran ke atas kapal komersial tidak bersenjata di Teluk baru-baru ini, serangan ke atas infrastruktur awam termasuk pemasangan minyak dan gas serta penutupan de facto Selat Hormuz oleh tentera Iran.” Mereka menggesa Tehran menghentikan tindakan agresifnya serta-merta, pemasangan ranjau, serangan dron dan peluru berpandu serta cubaan lain untuk menyekat selat itu kepada perkapalan komersial dan mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2817. Menyentuh impak lebih luas, mereka memberi amaran “kesan tindakan Iran akan dirasai penduduk di semua bahagian dunia, terutamanya golongan paling rentan” dan mengesahkan semula “kebebasan pelayaran adalah prinsip asas undang-undang antarabangsa, termasuk di bawah Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut”. Tegas mereka, gangguan terhadap perkapalan antarabangsa “merupakan ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa” serta menggesa “moratorium komprehensif segera ke atas serangan terhadap infrastruktur awam, termasuk pemasangan minyak dan gas”. Mengenai keselamatan tenaga, mereka mengalu-alukan keputusan Agensi Tenaga Antarabangsa mengeluarkan rizab petroleum strategik dan berjanji mengambil tindakan lanjut bagi menstabilkan pasaran. “Kami akan mengambil langkah lain untuk menstabilkan pasaran tenaga, termasuk bekerjasama dengan negara pengeluar tertentu untuk meningkatkan pengeluaran.” Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama ke atas Iran 28 Feb lalu yang mengorbankan lebih 1,200 orang setakat ini, termasuk pemimpin tertinggi terdahulu, Ali Khamenei. Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu di seluruh rantau itu, selain menutup Selat Hormuz kepada kebanyakan kapal, laluan transit minyak utama yang biasanya mengendalikan kira-kira 20 juta tong minyak sehari dan kira-kira 20% daripada perdagangan gas asli cecair global. Harga minyak meningkat pada Khamis, selepas Iran melancarkan serangan ke atas kemudahan tenaga di Asia Barat di tengah-tengah ketegangan berterusan dengan AS dan Israel. Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent didagangkan pada USD113.55 setong pada 10.02 pagi waktu tempatan, naik 5.74% daripada penutupan sebelumnya USD107.38.