Elak kena ‘scam’ melalui kandungan literasi digital
2026-03-09 - 00:04
Pencipta kandungan tempatan Moses Wong seru orang ramai di media sosial berkongsi pengalaman mereka berdepan taktik penipuan dalam talian supaya lebih ramai berwaspada dan melindungi diri. PETALING JAYA: Apa yang bermula sebagai perkongsian pengalaman di TikTok kini berkembang menjadi gerakan kesedaran dalam talian yang melibatkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Trend #ThinkTwice kini semakin tular di platform media sosial itu selepas pencipta kandungan tempatan, Moses Wong (@moseswck), tampil berkongsi pengalaman kenalan terdekatnya yang hampir terpedaya dengan tawaran kerja palsu. Menerusi trend itu, beliau bukan sekadar menceritakan pengalaman, malah mengajak pengguna lain menyambung videonya menerusi ‘stitch’ dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai iktibar bersama. Seruan itu ternyata mendapat sambutan hangat apabila semakin ramai pencipta kandungan dan pengguna media sosial lain tampil berkongsi pengalaman pahit menjadi mangsa penipuan demi keselamatan komuniti. Pengalaman dijadikan pengajaran Pencipta kandungan, J(@isawkwardguy) berkongsi pengalaman menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Katanya, pemanggil itu mendakwa dia mempunyai tunggakan cukai dan mengancam tindakan undang-undang jika gagal membuat bayaran segera. Walaupun mengetahui dia tidak mempunyai tunggakan, nada agresif pemanggil menyebabkannya panik dan hampir mendedahkan maklumat peribadi sebelum disedarkan oleh rakan. Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa #ThinkTwice dan tidak mudah mempercayai panggilan yang meminta maklumat sensitif atau bayaran melalui saluran tidak rasmi. Turut menyertai trend itu jurulatih digital, Sufina (@wfsufina) yang menghuraikan jerat di sebalik taktik penipuan pelaburan. Beliau mengimbau kes seorang pesara berusia 67 tahun dari Besut yang kerugian RM82,600 selepas terjerat dengan skim e-dagang palsu. Menurut Sufina, sindiket lazimnya memancing mangsa dengan pulangan kecil pada peringkat awal untuk membina kepercayaan, sebelum mendesak pindahan wang yang lebih besar dibuat ke pelbagai akaun berbeza. Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan tawaran ‘duit mudah’ dan sentiasa melakukan semakan melalui saluran rasmi seperti Semak Mule PDRM atau Investment Checker Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang transaksi. Dalam pada itu, personaliti tempatan popular, Jestinna Kuan (@jestinna), turut mendedahkan taktik penipuan kini tidak lagi terhad kepada alam maya. “Penipuan zaman sekarang bukan sahaja berlaku secara dalam talian, malah (penipu) juga cukup berani melakukannya secara bersemuka,” katanya. Jestinna menceritakan detik cemas apabila rakannya didekati pasangan yang menyamar pelancong meminta bantuan mengambil gambar. Namun, selepas telefon diserahkan semula, skrin tiba-tiba menjadi gelap dan pasangan terbabit menuduh mangsa merosakkan peranti itu. Mereka kemudian mendesak rakan Jestinna membayar ganti rugi sebanyak RM3,000 dan membuat ugutan berterusan. Menurut Jestinna, taktik itu sengaja direka untuk mencetuskan rasa panik dan bersalah, sekali gus memaksa mangsa membayar wang demi menamatkan konfrontasi. Seorang lagi pencipta kandungan, Kee (@cloutykee) turut berkongsi pengalaman rakannya yang kerugian RM2,000 akibat terjerat taktik licik individu menyamar pegawai bank dan polis. “Mereka akan menakut-nakutkan mangsa terlebih dahulu sebelum mendesak wang dipindahkan segera,” katanya. “Ini salah satu taktik pancingan data (phishing) dan penipuan panggilan telefon.” “Langkah pertama dalam mencegah penipuan adalah sentiasa peka dan bermaklumat. Untuk sebarang urusan kerajaan, pastikan anda hanya menggunakan laman web rasmi dan gerbang pembayaran yang selamat. Jangan sesekali melakukan pemindahan bank secara terus (direct transfer) dan sentiasa semak ejaan emel serta domain laman web dengan teliti.” Semakin ramai rakyat Malaysia stitch kandungan Moses Wong dengan berkongsi tip pencegahan penipuan #ThinkTwice berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Ruang digital medium kesedaran utama Gerakan #ThinkTwice kini telah meluas melangkaui bukan sekadar kandungan digital. Ia menjadi ruang di mana rakyat Malaysia memanfaatkan platform digital seperti TikTok untuk saling menjaga dan melindungi antara satu sama lain. Apa yang bermula sebagai perkongsian kisah individu kini berkembang menjadi usaha kolektif dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman penipuan. Pencipta kandungan tempatan dan warganet mula berkongsi pengalaman mereka berdepan pelbagai jenis penipuan. Memperkukuh literasi digital melalui kolaborasi #ThinkTwice mengingatkan orang ramai berfikir dahulu sebelum memberi respons kepada permintaan atau ugutan dalam talian daripada individu tidak dikenali. #ThinkTwice adalah inisiatif literasi digital oleh TikTok Malaysia yang bertujuan mewujudkan ruang dalam talian lebih selamat. Melalui inisiatif itu, TikTok komited memupuk komuniti lebih peka dan bermaklumat dengan menyediakan akses mudah kepada pelbagai sumber pendidikan mengenai pencegahan penipuan (scam). TikTok menyasarkan untuk menyebarkan kesedaran kepada jutaan pengguna di seluruh negara melalui pendekatan pelbagai serampang (multi-pronged) dengan kerjasama polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Suruhanjaya Sekuriti serta agensi kerajaan lain. #ThinkTwice adalah inisiatif literasi digital oleh TikTok Malaysia bertujuan membantu melindungi rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian. Hab Pengetahuan #ThinkTwice yang tersedia dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil menawarkan langkah pencegahan mudah diikuti serta maklumat terkini mengenai taktik penipuan yang sedang tular. Gerakan #ThinkTwice membuktikan rakyat Malaysia boleh memanfaatkan komuniti dalam talian sebagai kekuatan ke arah kebaikan bagi menghubungkan warganet dalam menyebarkan kesedaran. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://vt.tiktok.com/ZSHoCnGtdVAkh-6xc6m/