Elak jadi ‘jaguh Pantai Timur’; PN perlu dasar ekonomi, pendekatan inklusif
2026-03-20 - 01:20
Syahruddin Awang Ahmad berkata PN perlu mengamalkan pendekatan ‘jalan tengah’ dalam menangani isu sensitif. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu membawa pendekatan lebih inklusif dan dasar ekonomi meyakinkan jika mahu merampas Putrajaya, kata penganalisis. Mazlan Ali dari Universiti Tekonologi Malaysia (UTM) berkata pendekatan itu bagi mengubah keadaan yang kekuatan parti itu hanya tertumpu di Pantai Timur seperti diakui Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad. Jelasnya gabungan itu yang kini diketuai teknokrat dari PAS Ahmad Samsuri Mokhtar juga perlu menekankan agenda sosioekonomi yang jelas dan progresif bagi menarik keyakinan pengundi, khususnya golongan peniaga serta masyarakat bandar. “Rakyat nak hidup jadi ekonomi perlu bagus. Bawah kerajaan Anwar Ibrahim nampak dari segi ekonomi, taraf hidup rakyat sedang meningkat dan ada dasar baik. “Jika Samsuri dan PN boleh menggarap satu naratif sosioekonomi yang baik untuk negara, rakyat boleh sokong terutamanya pengundi Cina,” katanya kepada FMT. “Masyarakat Cina sangat dipengaruhi sentimen dan ekonomi kerana kebanyakkan mereka berniaga.” Semalam, Iskandar dalam hantaran di Facebook berkata pengaruh serta kekuatan PN terutama PAS di Pantai Timur selain Kedah dan beberapa kawasan di Perak belum mampu menjamin kemenangannya di peringkat nasional. Menurutnya, ia juga tidak dapat menabalkan Samsuri yang baharu dilantik pengerusi PN sebagai perdana menteri ke-11. Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpendapat PN perlu mengamalkan pendekatan ‘jalan tengah’ dalam menangani isu sensitif dengan memberi ruang kepada proses perundangan untuk diselesaikan. Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan PN dilihat sebagai gabungan berpegang kepada prinsip perlembagaan serta tidak mencampuri urusan penguatkuasaan demi kepentingan politik sempit. “Dengan mengutamakan saluran undang-undang yang telus, PN dapat membina kredibiliti sebagai bakal kerajaan yang adil bagi semua kaum. “Pendekatan matang ini akan mengurangkan ketegangan kaum dan membuktikan bahawa keadilan ditegakkan berasaskan fakta serta bukti, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem perundangan negara di bawah naungan mereka,” katanya. Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata PN berdepan cabaran menangkis persepsi seperti PAS yang masih dilihat ekstrem oleh sebahagian pengundi. “Apa yang perlu dilakukan ialah PN bukan sekadar memberi persepsi, tetapi perlu menunjukkan dengan jelas bahawa mereka mempunyai hala tuju dasar untuk mentadbir negara. “PN lebih dilihat sebagai pembangkang yang hanya membangkang dasar, bukan menawarkan alternatif meyakinkan,” katanya. “Keadaan itu menyebabkan masih wujud keraguan di kalangan rakyat terhadap keupayaan PN untuk memerintah, terutama dari segi dasar dan hala tuju ekonomi.”