EIA projek tapak pelupusan sampah Jelutong ditolak
2026-03-10 - 00:44
Cadangan penambakan bernilai RM1 bilion itu membabitkan penggalian dan pemulihan tapak pelupusan sampah Jelutong ditutup serta menambak kawasan pantai bersebelahan di utara Jambatan Pulau Pinang untuk meletak sementara sampah yang digali dari tapak pelupusan terbabit. GEORGE TOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak penilaian impak alam sekitar (EIA) projek dicadangkan untuk memulihkan tapak pelupusan sampah Jelutong yang ditutup dan menambak tanah bersebelahan. Portal EIA JAS, yang menunjukkan sama ada laporan EIA diluluskan, ditolak atau masih diproses, mengklasifikasikan projek itu “tidak diluluskan”. FMT telah menghubungi kerajaan Pulau Pinang untuk mengulas. Ini menyusul beberapa hari selepas penduduk dikaitkan dengan Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak memberi lebih banyak masa kepada pemaju, jika EIA tidak diluluskan. Cadangan penambakan bernilai RM1 bilion itu membabitkan penggalian dan pemulihan tapak pelupusan sampah serta menambak kawasan pantai bersebelahan di utara Jambatan Pulau Pinang untuk meletak sementara sampah digali dari tapak pelupusan terbabit, dengan projek pembangunan campuran akan dijalankan atas tanah ditambak. Tanah seluas 65 hektar itu merangkumi 36 hektar tapak pelupusan sampah dan 29 hektar tanah baharu bersebelahan tepi laut Karpal Singh Drive. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang menandatangani perjanjian dengan PLB Engineering Bhd pada 2020 untuk melaksanakan projek itu, yang dijangka mengambil masa empat hingga lima tahun, tetapi tiada kerja dimulakan di tapak berkenaan sehingga kini. Projek ini mendapat bantahan penduduk dan kumpulan alam sekitar, yang menegaskan penambakan tanah bersebelahan tapak pelupusan lama Jelutong boleh menjejaskan kesihatan awam serta merosakkan ekosistem marin Middle Bank berdekatan. Middle Bank ialah kawasan pesisir cetek di pantai timur Pulau Pinang, yang terkenal dengan padang rumpai laut dan kepelbagaian hidupan marin serta dianggap habitat semula jadi penting. Chow sebelum ini mempertahankan projek itu dengan berkata, penambakan perlu untuk mewujudkan ruang mencukupi bagi menjalankan kerja pembersihan dengan selamat dan projek berkenaan tidak akan menjejaskan Middle Bank.