TheMalaysiaTime

EGM Sunway undi teruskan ambil alih IJM

2026-03-26 - 10:00

Pada 12 Jan lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki semua 3.51 bilion saham biasa IJM pada harga RM3.15 sesaham. (Gambar Sunway) PETALING JAYA: Pemegang saham Sunway Bhd menyokong cadangan pengambilalihan IJM Corporation Bhd dalam mesyuarat agung luar biasa hari ini, kata Pengasas dan Pengerusinya, Jeffrey Cheah. Menurutnya, hampir semua yang hadir dalam mesyuarat itu mengundi menyokong mengekalkan tawaran itu. Jelasnya, kumpulan itu menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membersihkan nama lembaga pengarah daripada sebarang salah laku dalam siasatannya ke atas cadangan perjanjian itu. Pada 12 Jan lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki semua 3.51 bilion saham biasa IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan pada 6 April ini. Awal bulan ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan tidak menerima tawaran Sunway untuk 13.5% sahamnya dalam konglomerat itu. Sunway perlu mendapat 50% campur satu kepentingan ekuiti saham dalam IJM untuk tawaran pengambilalihannya berkuat kuasa. Tetapi, Sunway memerlukan kelulusan 90% pemegang saham untuk mewajibkan penyahsenaraian IJM dan menjadikannya persendirian — ambang yang tidak dapat dicapai dengan PNB menolak perjanjian itu. Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, agensi itu sedang menyiasat cadangan pengambilalihan itu dengan memfokuskan kemungkinan isu rasuah dan tadbir urus.

Share this post: