TheMalaysiaTime

ECRL Kota Bharu-Gombak siap 92.62%, mula operasi Januari 2027

2026-03-16 - 23:54

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan (dua dari kiri) pada gimik penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, semalam. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan pembinaan 92.62% setakat bulan lalu, selari jadual penyiapan jajaran Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini dan seterusnya beroperasi secara komersial bermula Januari 2027. Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028. Menurutnya, pengoperasian komersial tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang serta kargo, merentas rangkaian rel elektrik sepanjang 665km di negeri pantai timur dan Selangor. “Projek ECRL juga mencatatkan satu lagi pencapaian penting hari ini dengan selesainya pembinaan landasan jajaran utama ECRL sepanjang 519km dari Kota Bharu ke Gombak lebih awal daripada dijadualkan. “Pencapaian ini jelas mencerminkan dedikasi tinggi serta kerjasama erat Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communication Construction (CCC)-ECRL serta sokongan padu semua pihak terlibat.” Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pemeteraian Perjanjian Pelantikan Penyelaras Utama Bersama (JLC) bagi Pengurusan Risiko Pertukaran Asing Projek ECRL dan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, semalam. Amir menyaksikan pemeteraian perjanjian JLC antara MRL dan lapan institusi perbankan, antaranya Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank bagi mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing membabitkan pembiayaan ECRL. Beliau berkata, penglibatan institusi kewangan terkemuka itu mencerminkan tahap keyakinan tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta keupayaan sistem perbankan negara dalam menyokong pembiayaan dan pengurusan risiko bagi projek infrastruktur strategik berskala besar. “Inisiatif ini turut memperkukuh aspek tadbir urus kewangan, ketelusan serta akauntabiliti dalam pelaksanaan projek, selaras komitmen kerajaan untuk memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan tahap integriti dan disiplin fiskal tinggi. “Pada masa sama, kejayaan pelaksanaan mekanisme pengurusan risiko kewangan seperti ini juga mencerminkan kematangan sistem kewangan Malaysia, yang mampu menyokong pembiayaan projek infrastruktur berskala besar melalui pendekatan profesional, telus dan berpandukan disiplin pasaran.” Dalam majlis sama, Amir turut merasmikan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak yang merangkumi jajaran utama sepanjang 519km.

Share this post: