TheMalaysiaTime

Dulu hidup berlapar, Fadzil kini sedia makanan percuma untuk warga P Pinang

2026-03-24 - 00:11

Fadzil Wahab adalah pengasas ‘Nasi Kandar Bergerak’, sebuah inisiatif makanan percuma yang membawa hidangan terus kepada komuniti berpendapatan rendah. (Gambar Fadzil Wahab) GEORGE TOWN: Ketika zaman kanak-kanak, Fadzil Wahab terpaksa bertahan dengan hanya RM2 sehari. Wang itu perlu menampung tiga kali makan – biasanya sekeping roti canai yang dibahagikan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Kini, selepas bertahun-tahun membina kehidupan, peniaga berusia 45 tahun dari Dhobi Ghat itu berharap suatu hari nanti dapat membuka premis 24 jam yang menyediakan makanan percuma kepada sesiapa yang memerlukan. “Saya mahu hidangkan makanan panas dengan dapur sentiasa hidup,” katanya kepada FMT. Ia adalah impian yang lahir daripada kesusahan. Apabila ditanya mengapa dia memberi makanan secara percuma, Fadzil mempunyai jawapan ringkas: “Saya membesar dalam keadaan lapar.” Bapanya bekerja secara sambilan dan dia sering berlapar ketika membesar. Keadaan itu mendorongnya menggerakkan ‘Nasi Kandar Bergerak’, inisiatif makanan percuma menggunakan trak makanan yang membawa hidangan terus kepada komuniti berpendapatan rendah. Ia tidak beroperasi di lokasi tetap, Fadzil sebaliknya ke kawasan B40 dan selalunya hanya memberi makluman satu atau dua jam lebih awal di media sosial sebelum tiba. Pemberitahuan lewat itu disengajakan kerana ia bertujuan menjadi kejutan. “Kami umumkan di TikTok sebelum bergerak, jadi orang di kawasan itu akan tahu kami akan datang,” katanya. Matlamat Fadzil adalah untuk menyajikan makanan terbaik dan sebab itulah hidangan yang disediakan dimasak dengan teliti. (Gambar Fadzil Wahab) Sepanjang Ramadan, agihan makanan diadakan seminggu sekali. Sebelum ini, ia dilakukan selang sehari, bergantung kepada kos. Jika berkemampuan, katanya, dia mahu melakukannya setiap hari. Inisiatif itu bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19, apabila Fadzil dan keluarganya memasak untuk kira-kira 50 orang di sekitar Komtar. “Ia bermula dengan 50 orang, kemudian 100, kemudian 200. Ketika itu kami rasa perlu teruskan usaha ini,” katanya. “Kami sedar semakin banyak kami memberi, semakin banyak juga rezeki kami.” Setakat ini, lebih 20,000 pek makanan telah diagihkan, kebanyakannya di Pulau Pinang, walaupun pasukan itu juga bergerak ke kawasan lain apabila diperlukan. Operasi itu kekal sebagai usaha keluarga. Fadzil, yang kini mengusahakan kedai runcit, bekerjasama dengan sepupunya Che Hajirah Abd Hamid, 48, yang mengendalikan kedai dobi. Ibu Hajirah, Latifah, menjadi tukang masak utama, manakala isteri Fadzil, Nurul Huda Abdullah, 43, adalah pembantu utamanya. Siang atau malam, Nasi Kandar Bergerak – yang telah mengagihkan lebih 20,000 hidangan – menjadi penyelamat bagi komuniti yang memerlukan. (Gambar Fadzil Wahab) Dapur di Batu Kawan dikendalikan sepenuhnya oleh ahli keluarga. Mereka biasanya menyediakan kira-kira 500 pek makanan setiap kali, bermula seawal 5 pagi supaya semuanya siap sebelum trak bergerak. Matlamat Fadzil bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi menyajikan makanan terbaik. Sebab itu menu sering merangkumi hidangan seperti nasi minyak, briyani atau nasi hujan panas, bukan sekadar nasi putih biasa. Walaupun percuma, dia mahu hidangan itu terasa seperti makanan sebenar yang dimasak dengan teliti. Berkongsi rezeki dengan orang memerlukan Fadzil masih ingat saat awalnya ketika menjadi peniaga mi goreng yang menggunakan gerai tolak di kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan. Lama-kelamaan, dia berjaya membuka kedai runcit dan gerai makanan, membina kehidupan yang tidak pernah dimilikinya dahulu. Katanya, pengalaman sukar itu membuatkan dia tidak mampu menutup mata terhadap kesusahan orang lain. Fadzil melihat inisiatif itu sebagai cara untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang melalui kesusahan seperti dialaminya dulu. (Gambar Fadzil Wahab) Usahanya juga melangkaui makanan. Fadzil pernah menghadiahkan motosikal kepada individu yang layak, khususnya mereka yang boleh menggunakannya untuk mencari rezeki seperti kerja penghantaran. Namun, dia berhati-hati memilih penerima dengan menilai terlebih dahulu bagi memastikan bantuan itu benar-benar dapat mengubah kehidupan mereka. Inisiatif ini dibiayai terutamanya melalui keuntungan perniagaan keluarga, dengan sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk amal. Fadzil berkata, dia tidak melihat semua ini sebagai penjenamaan atau promosi, sebaliknya sebagai cara berkongsi rezeki dengan mereka yang melalui kesusahan seperti yang pernah dialaminya. “Selagi kami mampu, kami akan terus beri secara percuma,” katanya. Dan jika impiannya tercapai, suatu hari nanti akan wujud sebuah tempat di mana dapur tidak pernah sejuk, makanan sentiasa panas, dan tiada siapa perlu menahan lapar.

Share this post: