TheMalaysiaTime

Dr Sam perlu sokongan kukuh parti sendiri untuk jadi PM

2026-03-18 - 01:14

Penganalisis berkata jika dalam PAS sendiri wujud perbezaan pandangan ia akan menyukarkan kedudukan Ahmad Samsuri Mokhtar. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, memerlukan sokongan kukuh parti sendiri jika mahu dilihat sebagai calon perdana menteri. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, persoalan timbul apabila nama lain diketengahkan, sedangkan PAS memilih Samsuri sebagai pengerusi Perikatan Nasional. Beliau menerangkan Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam terpilih sebagai pengerusi kerana beliau boleh diterima oleh semua komponen PN, selain imej moderat dan teknokrat. “Jika dalam PAS sendiri wujud perbezaan pandangan, ia akan menyukarkan kedudukan beliau. Sejujurnya, keadaan dalam PAS ketika ini agak mengelirukan,” katanya kepada FMT. Terdahulu, menantu Presiden PAS Hadi Awang, Zaharudin Muhammad, mengumumkan sependapat dengan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin bahawa Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Idris Ahmad lebih layak menjadi perdana menteri. Ketua PAS Sungah Buloh itu menulis di Facebook bahawa Samsuri layak menjadi ketua pembangkang demi keselarasan gerak kerja, namun untuk perdana menteri ‘tetap Tuan Ibrahim dan Idris’. “Jika Tuan Ibrahim atau Idris dianggap layak menjadi calon perdana menteri, secara logiknya mereka juga sepatutnya layak untuk memegang jawatan ketua pembangkang,” balas Syaza. Semalam, Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, berkata beliau akan mengikut suara majoriti Ahli Parlimen pembangkang berhubung peranan ketua pembangkang. Kelmarin, Samsuri mengumumkan PN mempunyai calon pengganti Hamzah yang akan diumumkan hujung bulan ini. Mesyuarat PN pada 19 Feb memutuskan PAS mengambil alih jawatan itu. Felo Majlis Professor Negara, Azmi Hassan, bagaimanapun percaya kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, bahawa jawatan pengerusi PN bukan automatik calon perdana menteri telah menanam keraguan dalam ‘kumpulan ulama’ PAS. Azmi berpandangan, seluruh kumpulan ulama menyokong Samsuri namun kenyataan Muhyiddin menunjukkan beliau ‘tidak diterima sepenuhnya oleh rakan mereka, Bersatu’. Katanya, PAS perlu berpegang pada satu nama sebagai calon perdana menteri. “Menamakan beberapa calon perdana menteri dikatakan tidak baik kepada Samsuri. Calon perdana seharusnya satu nama sahaja. Tak boleh ada penggantinya dalam hal ini,” katanya.

Share this post: