TheMalaysiaTime

Dr M dibenar pulang bermalam di rumah, rawatan diteruskan di IJN

2026-02-06 - 05:47

Pasukan perubatan IJN setakat ini berpuas hati dengan pemulihan Dr Mahathir Mohamad. PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kini dibenarkan pulang bermalam di kediamannya secara berperingkat selepas hampir sebulan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan kecederaan patah tulang pinggul kanan. Pejabat Dr Mahathir dalam kenyataan memaklumkan beliau dimasukkan ke IJN pada 6 Jan lalu selepas terjatuh di kediamannya di The Mines. Menurut kenyataan itu, sejak dua hari lalu, iaitu pada 4 dan 5 Feb, Dr Mahathir dibenarkan ‘home leave’, membolehkan beliau pulang dan bermalam di rumah, namun tetap kembali ke IJN pada waktu siang untuk meneruskan rawatan serta pemantauan pihak perubatan. “Pasukan perubatan IJN setakat ini berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan beliau serta tindak balas terhadap rawatan dan fisioterapi yang dijalankan,” kata kenyataan itu. Walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, Mahathir masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan IJN. Pakar perubatan turut menasihatkan beliau tidak menerima sebarang pelawat selain ahli keluarga terdekat buat masa ini.

Share this post: