TheMalaysiaTime

Doktor rugi RM3.8 juta ditipu pelaburan tak wujud

2026-03-06 - 08:23

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Syamsyul Anuar Saad, berkata doktor swasta itu melakukan 49 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza, antara 4 Nov 2025 hingga 4 Feb lalu. ALOR SETAR: Doktor swasta kerugian RM3.8 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tawaran awam permulaan (IPO) syer membabitkan mata wang China dan Hong Kong yang tidak wujud. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Syamsyul Anuar Saad, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di IPD Kota Setar pada 9.30 malam, Rabu lalu. Beliau berkata, lelaki berusia 60 tahun itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan selepas melihat iklan syarikat JMC Capital menerusi Facebook ketika berada di tempat kerjanya di Jalan Putra, pada 26 Ogos tahun lalu. “Mangsa dijanjikan keuntungan 50% dalam tempoh dua minggu daripada modal yang dilaburkan. Mangsa telah berurusan dengan seorang wanita sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai JMC Capital,” katanya dalam kenyataan. Syamsyul Anuar berkata, ahli kumpulan berkenaan terus meyakinkan mangsa pelaburan tersebut mampu memberikan pulangan yang tinggi. Beliau berkata, mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM3,805,010 menerusi 49 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza antara 4 Nov 2025 hingga 4 Feb lepas. “Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya. Sehubungan itu, Syamsyul Anuar menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian serta memastikan pelaburan yang disertai mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Share this post: