TheMalaysiaTime

DJ Dave dicop ‘gila’ rakam lagu raya seminggu sebelum Syawal

2026-03-22 - 00:20

DJ Dave dikenali dengan lagu Menjelang Hari Raya, ciptaan S Atan yang dihasilkan 48 tahun lalu. KUALA LUMPUR: Mungkin tiada siapa boleh menafikan karya ‘Menjelang Hari Raya’ ciptaan S Atan nyanyian DJ Dave antara lagu menjadi peneman di kala Aidilfitri, baik semasa rumah terbuka atau dalam perjalanan balik ke kampung. Dihasilkan hampir setengah abad, lagu itu sedikit sebanyak membantu melonjakkan lagi nama Dave dalam industri seni dan untuk mengubat kerinduan peminat beliau mengeluarkan satu lagi naskah baharu berkait Aidilfitri, tahun lalu. Namun kongsi DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 78, idea penghasilan lagu ‘Meriah Syawal’ tidak dirancang sebaliknya muncul secara tiba-tiba, iaitu seminggu sebelum Aidilfitri sehingga mencetuskan rasa terkejut komposer terkenal Fauzi Marzuki. “‘Kamu gilakah? Raya dah dekat!’ Itu Fauzi beritahu. Tetapi saya tetap mahu mencuba,” kongsi DJ Dave sambil tersenyum dalam temu bual dengan FMT. Seperti ‘Menjelang Hari Raya’, dalam setiap karya beliau sebolehnya mahu ada mesej khas supaya ia lebih bermakna untuk didengar pada Aidiftiri. Lagu Meriah Syawal lahir daripada semangat ringkas, ceria dan mudah diingati selain menampilkan kanak-kanak istimewa dalam video muziknya – tanda kasih saying terhadap insan istimewa kurang bernasib baik. “Saya tahu tidak semua lagu raya akan terus menjadi hit. Lagu Menjelang Hari Raya pun ambil masa sebelum ia popular. Tapi rasa puas hati bila ia masih disayangi peminat walaupun sudah 48 tahun,” tambah presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) itu. Aidilfitri bagi DJ Dave lebih daripada sekadar muzik. Penyanyi legenda itu menekankan nilai silaturahim yang semakin pudar. “Dahulu bila raya, jiran Melayu, Cina, India semua datang rumah. Kita pun berkunjung ke rumah mereka. Tukar makanan, bergelak ketawa. “Sekarang suasana itu semakin kurang. Mana perpaduan erat kita yang dahulu?,” katanya dalam keadaan sebak, sambal berharap semangat muhibbah itu dapat dihidupkan semula. Selain menyanyi, DJ Dave juga aktif dalam sukan dan perniagaan. Bekas pemain bola sepak itu beralih ke badminton pada usia 55 tahun selepas mengalami kecederaan dihidungnya. Kini, beliau mewakili Malaysia dalam kejohanan senior seperti All England Seniors dan pernah membawa pulang pelbagai pingat. Anak kelahiran Kuala Kubu Bahru itu turut menguruskan restoran Mother India di Sabah serta sebuah perniagaan berkaitan pengurangan karbon, sambil tetap aktif mengendalikan persatuan kebajikan untuk artis. “Saya tidak akan pencen. Selagi diperlukan, saya akan tetap menyanyi, bersukan, dan menguruskan perniagaan,”.

Share this post: