TheMalaysiaTime

Dividen KWSP pelindung masa depan, bukan ‘duit poket’ segera

2026-03-17 - 00:14

Pengumuman kadar dividen 6.15% oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun kewangan 2025 disambut baik oleh jutaan pencarum. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, pulangan sedemikian memberi sedikit kelegaan kepada rakyat. Namun timbul cadangan supaya semua dividen itu dimasukkan terus ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) supaya pencarum boleh mengeluarkannya serta-merta, khususnya untuk menampung perbelanjaan musim perayaan. Cadangan itu cukup popular sehingga dibahaskan di Parlimen. Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim contohnya memohon agar dividen dimasukkan 100% terus ke Akaun Fleksibel supaya boleh ia dikeluarkan. Menurut Shahidan, cadangan berkenaan tidak memberi sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan kerana ia hanya melibatkan pengagihan dividen KWSP. Ya, memang benar langkah itu tidak memberi kesan tambahan kewangan kepada kerajaan, tetapi bagaimana pula masa depan pencarum yang mungkin terpaksa bergantung kepada caruman KWSP selepas bersara? Apakah wajar menggunakan dividen itu untuk ‘keseronokan berhari raya selama beberapa hari’ berbanding menggandakannyauntuk dijadikan bekalan pada usia senja? KWSP telah menyatakan bahawa cadangan itu tidak boleh dilaksanakan dari sudut undang-undang kerana Akta KWSP 1991 menetapkan bahawa dividen mesti diagihkan secara berkadar mengikut akaun simpanan sedia ada. Penjelasan undang-undang itu mungkin menutup perbahasan dari sudut teknikal. Tetapi perbincangan yang lebih penting sebenarnya masih belum disentuh sepenuhnya. Adakah kita mahu menjadikan KWSP sebagai ‘mesin ATM’ jangka pendek atau sebuah sistem keselamatan sosial yang mampan? Dilema ‘bias masa kini’ Pakar ekonomi tingkah laku sering menyebut tentang ‘present bias’ atau ‘bias masa kini’, yang bermaksud kecenderungan manusia untuk mengutamakan kepuasan segera berbanding keperluan masa depan yang samar. Membeli baju raya baru atau menukar perabot rumah memang memberikan kegembiraan hari ini, tetapi kosnya adalah risiko kemiskinan di usia senja. Ramai yang terlupa bahawa simpanan KWSP bukan sekadar potongan gaji sendiri, tetapi merangkumi caruman majikan sebanyak 12% hingga 13%. Tanpa sistem mandatori ini, adalah mustahil bagi kebanyakan pekerja untuk memastikan majikan menyediakan tabung persaraan sebesar itu secara sukarela. Ancaman negara tua 2030 Kurang lima tahun lagi, Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan 15% daripada populasi berumur 60 tahun ke atas. Dengan jangka hayat yang semakin meningkat, persoalan sering bermain di fikiran “cukupkah duit untuk hidup 20 tahun selepas bersara?” menjadi sangat kritikal. Apabila kita membenarkan dividen dikeluarkan sepenuhnya untuk penggunaan tahunan, kita sebenarnya sedang ‘membunuh’ kuasa penggandaan dividen. Dividen yang dibiarkan dalam akaun akan menjana dividen yang lebih besar pada tahun berikutnya. Sebagai contoh, dividen RM2,000 dikeluarkan hari ini pada usia 35 tahun, jika dibiarkan berkembang pada kadar sekurang-kurangnya 6% setahun untuk beberapa tahun mendatang boleh meningkat kepada lebih RM10,000 menjelang usia persaraan. Jika rantaian ini diputuskan setiap kali musim perayaan, impak jangka panjangnya adalah bencana kewangan padapenghujung usia. Siapa terbeban? Apabila simpanan persaraan rakyat habis awal, bebannya tidak hilang begitu sahaja. Ia akan beralih kepada anak-anak (generasi sandwic), program bantuan sosial kerajaan dan akhirnya kepada pembayar cukai. Kita harus jujur dengan diri sendiri. Isu kos sara hidup dan gaji rendah adalah masalah struktur ekonomi yang perlu ditangani melalui reformasi pasaran buruh dan dasar gaji yang lebih baik. Menggunakan dividen KWSP untuk menampung kos hidup ibarat ‘menangguk air dengan timba bocor’. Air yang disimpan tidak akan pernah penuh untuk kegunaan seharian. Cukup bawa dasar populis Pengenalan Akaun Fleksibel (Akaun 3) sudah pun menjadi satu langkah kompromi yang besar oleh KWSP untuk memberi ruang kepada ahli. Namun, menuntut agar semua semua dividen dijadikan wang saku segera sempena musim perayaan bukanlah satu langkah yang perlu dilayan. Ibarat membesarkan sebuah pokok buah yang memerlukan baja, begitu juga fungsi dividen dalam menyokong pertumbuhan aset masa depan. Melindungi struktur dividen hari ini bukan sekadar soal mematuhi undang-undang, tetapi soal memastikan kesejahteraan rakyat pada usia tua. Cukuplah menjaja dasar populis seperti menjadikan KWSP sebagai tabung kecemasan bermusim. Sebaliknya, jadikan simpanan yang benar-benar bermanfaat pada masa depan. Penulis ialah pembaca FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: