Dividen 5.35% bukti kemampuan LTAT ketika ekonomi global mencabar
2026-03-12 - 05:14
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kementeriannya akan terus memantau prestasi LTAT bagi memastikan dana simpanan anggota tentera diuruskan sebaik mungkin. (Gambar LTAT) KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membuktikan keupayaannya memberi pulangan dividen lebih baik bagi tahun kewangan 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Pertahanan, Khaled Nordin. Beliau berkata, prestasi itu satu pencapaian membanggakan memandangkan situasi ekonomi dunia mencabar sepanjang tahun lepas. “Saya mengucapkan tahniah kepada LTAT, dalam keadaan pergolakan global yang menjejaskan ekonomi tahun lepas, ia masih dapat mencapai pelbagai pencapaian baik. “Pencapaian ini memungkinkan LTAT mengumumkan dividen pada kadar lebih baik dari tahun sebelumnya,” katanya selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025, di sini. Khaled berkata, kementeriannya akan terus memantau prestasi LTAT bagi memastikan dana simpanan anggota tentera diuruskan sebaik mungkin. “Saya percaya LTAT berada di landasan betul untuk mengurus dana simpanan anggota tentera yang akhirnya boleh membawa pulangan baik kepada ahli.” LTAT hari ini mengumumkan kadar dividen 5.35% bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, iaitu agihan tertinggi dalam tempoh lapan tahun. Agihan keseluruhan berjumlah RM524.74 juta itu bakal memanfaatkan warga tentera, sekali gus mengukuhkan komitmen LTAT dalam memastikan kesejahteraan kewangan jangka panjang pencarum.