Disalah tuduh curi, eksekutif kanan syarikat cat dikembalikan jawatan
2026-03-23 - 00:41
Mahkamah Rayuan memerintahkan Kansai Paint Asia Pacific Sdn Bhd membayar gaji tertunggak RM267,030 dan kos RM40,000 kepada Lee Ee Chai yang diberhentikan secara tidak adil. PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang eksekutif kanan yang dituduh secara salah atas kesalahan mencuri, dikembalikan ke jawatannya, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Perusahaan bahawa lelaki itu dipecat secara tidak adil. Hakim Evrol Mariette Peters yang menyampaikan penghakiman sebulat suara panel tiga hakim itu berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan prinsip apabila mengganggu keputusan Mahkamah Perusahaan. “Perintah Mahkamah Tinggi diketepikan dan award Mahkamah Perusahaan dikembalikan,” katanya dalam alasan ringkas yang disampaikan ketika membenarkan rayuan akhir Lee Ee Chai, dua minggu lalu. Panel yang dipengerusikan Hakim Azizul Azmi Adnan dan dianggotai Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin itu turut memutuskan kos RM40,000 kepada Lee. Mahkamah Perusahaan memerintahkan Lee dikembalikan ke jawatan terakhirnya di Kansai Paint Asia Pacific Sdn Bhd, dengan perkhidmatannya dianggap berterusan sejak tarikh mula pada 1984. Pengerusinya, Augustine Anthony, turut mengarahkan majikan membayar tunggakan gaji RM267,030 kepada Lee selepas menolak RM89,010 atas salah laku yang menyumbang kepada kes itu. Pertikaian itu timbul apabila syarikat terbabit mengosongkan pejabat Port Tech Tower di Klang dan memindahkan operasi ke Bukit Raja. Lee yang ditugaskan untuk mengira barangan jabatan didapati mengambil dua kerusi dan dua projektor. Dia kemudian menjelaskan sebuah projektor diletakkan di pejabat Bukit Raja dan barangan lain dikembalikan selepas siasatan. Pun begitu, dia tetap dituduh mencuri harta syarikat dan dipecat selepas siasatan domestik mendapatinya bersalah. Peters berkata, Mahkamah Perusahaan telah menganalisis bukti dan konteks pemindahan pejabat dengan teliti, sebelum menyimpulkan syarikat itu gagal membuktikan ketidakjujuran – elemen utama dalam kesalahan mencuri. Tetapi, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan itu dengan berkata, Mahkamah Perusahaan tersalah guna definisi undang-undang jenayah bagi kecurian dalam menilai salah laku pekerjaan. Mahkamah Rayuan bagaimanapun tidak bersetuju. Peters berkata, syarikat itu sendiri merangka kes berkenaan sebagai pengambilan tanpa hak, menjadikan elemen ketidakjujuran sebagai asas dakwaan. “Dalam keadaan seperti ini, Mahkamah Perusahaan bertindak betul untuk meneliti sama ada fakta dikemukakan menyokong tuduhan yang membawa implikasi moral begitu serius.” Katanya, Mahkamah Perusahaan merujuk Kanun Keseksaan bukan untuk melaksanakan standard pembuktian jenayah, tetapi bagi menjelaskan unsur ketidakjujuran dan keuntungan secara salah, yang secara langsung berkaitan pertuduhan itu. “Ini bukan silap arah, tetapi analisis logik tehadap asas utama tuduhan itu.” Tegasnya, kesimpulan Mahkamah Perusahaan – tindakan Lee lebih menunjukkan pertimbangan lemah dan sikap tidak bertanggungjawab, bukannya niat tidak jujur mengambil harta syarikat – kesimpulan yang berhak dibuat tribunal berdasarkan bukti. “Mahkamah Rayuan tidak boleh mengetepikan dapatan sedemikian hanya kerana ia mungkin membuat inferens berbeza.” Peters berkata, pendekatan Mahkamah Tinggi dalam kes itu secara tidak wajar menghidupkan semula formalistik undang-undang terlalu teknikal, yang cuba dielakkan Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Peters berkata, Mahkamah Perusahaan menyimpulkan salah laku Lee tidak cukup berat sehingga perlu dipecat, contoh jelas penggunaan budi bicara tribunal untuk memastikan keadilan dan keputusan itu tidak patut diketepikan Mahkamah Tinggi.