Diplomasi Anwar dalam konflik Iran cermin kemahiran urus negara matang, kata PKR
2026-03-08 - 16:13
PM Anwar Ibrahim berkata, beliau zahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran menerusi panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Jumaat. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim) PETALING JAYA: Pendekatan ‘diplomasi senyap’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menelusuri konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel mencerminkan kemahiran urus negara matang yang membawa manfat kepada keamanan dan kepentingan Malaysia, kata Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR. Pengerusinya, Maszlee Malik berkata, walaupun biro itu memahami wujud gesaan untuk pendirian yang lebih lantang disuarakan membantah konflik tersebut, strategi libat urus secara senyap diamalkan oleh Anwar terbukti berkesan dalam meredakan ketegangan. “Pendekatan ini mengekalkan kredibiliti Malaysia sebagai negara yang memfokuskan dialog, melindungi keneutralan strategik kita dengan semua kuasa besar, dan memelihara hubungan penting dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk. “Ia juga menghormati proses berasaskan konsensus Asean dan usaha pengimbangan yang teliti oleh pemain serantau. Pengaruh sebenar tidak diukur dengan kelantangan tetapi melalui hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu dilaporkan Anwar berkata, beliau menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran menerusi panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Jumaat. “Saya turut menyampaikan ucapan takziah di atas nyawa rakyat Iran yang terkorban, termasuk Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei serta 165 orang pelajar sekolah akibat serangan rejim Israel bersama AS di Tehran baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial. “Malaysia turut menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara, di samping menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi konflik yang berpanjangan terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global.”