Dialog Muslim-Hindu langkah matang, positif, kata mufti
2026-03-19 - 02:41
Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman berkata Nabi Muhammad sendiri berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam melalui pendekatan hikmah, perjanjian dan penghormatan terhadap hak masing-masing. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Islam dan Hindu untuk mencari ‘titik damai’ merupakan satu perkembangan yang sangat positif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, kata Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman. Beliau berkata dalam suasana dunia yang sering dicabar dengan ketegangan agama dan kaum, pendekatan dialog, perbincangan serta kesediaan saling memahami mencerminkan kematangan sosial dan tanggungjawab bersama dalam memelihara keharmonian. Katanya, dari sudut Islam, usaha sebegini selari dengan prinsip asas hubungan antara manusia iaitu saling mengenali, hidup bersama secara aman dan bekerjasama dalam perkara kebaikan. “Al-Quran menegaskan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya mereka saling mengenali, bukan untuk bermusuhan. “Ini menunjukkan bahawa kepelbagaian bukan satu ancaman, bahkan satu ruang untuk membina persefahaman dan toleransi,” katanya kepada FMT. Beliau mengulas mengenai penganjuran sesi dialog antara Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Kuil-kuil Hindu dan Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menerusi satu majlis khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis itu dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan susulan kenyataan dan tindakan beberapa pihak yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial sejak beberapa minggu lalu. Mengulas lanjut, Sukki berkata, dialog antara agama bukanlah satu perkara asing dalam Islam. Katanya, sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad sendiri berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam melalui pendekatan hikmah, perjanjian dan penghormatan terhadap hak masing-masing. “Oleh itu, usaha mencari titik damai antara komuniti beragama boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada nilai-nilai tersebut, khususnya dalam konteks negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya. “Hidup bersama bermaksud saling menghormati, tidak mengganggu amalan agama orang lain, serta bekerjasama dalam perkara kebaikan demi kesejahteraan bersama,” katanya. Bagaimanapun, kata Sukki, dalam membincangkan keharmonian antara agama, isu asas seperti status tanah, hak milik, kelulusan undang-undang dan keadilan kepada semua pihak tidak boleh diketepikan. “Rumah ibadat sepatutnya menjadi simbol kesucian, keamanan dan keadilan, bukan punca pertikaian atau konflik. Jika asasnya tidak betul, maka sukar untuk membina keharmonian yang sebenar di atasnya,” katanya. Katanya, cabaran terbesar dalam usaha membina keharmonian ini datang daripada penyalahgunaan media sosial. “Terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk memanipulasi isu agama demi kepentingan tertentu, sama ada politik, populariti atau provokasi. “Perbuatan ini bukan sahaja merosakkan usaha perdamaian, bahkan boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar dalam masyarakat,” katanya.