TheMalaysiaTime

Dedah ‘petualang’ konspirasi jatuhkan kerajaan, gesa Kamil

2026-02-28 - 05:13

Kamil Munim berkata negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan. PETALING JAYA: Polis digesa menjalankan siasatan menyeluruh serta mendedahkan identiti individu terlibat di sebalik dakwaan konspirasi individu berpengaruh serta agensi media antarabangsa untuk mensabotaj kestabilan negara dan menjatuhkan kerajaan. Setiausaha politik menteri kewangan, Kamil Munim, berkata ancaman tersebut tidak boleh dipandang ringan sekiranya benar terdapat ‘watak pengkhianat’ dari dalam yang sanggup menjadi ejen kepentingan asing demi keuntungan peribadi. “Perkara ini menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara, dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa. “Justeru adalah wajar kita mendesak agar pihak polis segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang yang terlibat serta yang bersubahat tanpa mengira kedudukan,” katanya menerusi hantaran di platform X. Kamil berkata, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar helah politik memandangkan rakyat berhak mengetahui kebenaran di sebalik dakwaan berkenaan. “Negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan,” katanya. Semalam, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis mengenai dakwaan itu. Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14B Kanun Keseksaan iaitu terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa terbabit.

Share this post: