TheMalaysiaTime

Dasar keselamatan kanak-kanak bukan pengawasan massa

2026-03-07 - 02:23

Tahun lalu, negara dikejutkan dengan penemuan lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta pornografi dewasa dalam operasi bersepadu polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Operasi itu turut menahan 31 suspek dan paling mengejutkan ada diantaranya berusia 12 tahun. Lantas, kerajaan menjadikan jenayah membabitkan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian sebagai agenda utama untuk diperangi. Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) mulai dikuat kuasa 1 Jan lalu yang antara pengisiannya berkait pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Langkah itu sebagai usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi serta terdedah kepada kandungan tidak wajar dalam talian. Inisiatif sama juga telah dibuat di peringkat antarabangsa dengan Australia menjadi negara pertama melarang individu bawah umur 16 tahun daripada mengakses media sosial. Langkah itu telah memberi galakan kepada negara lain untuk mengikut jejak langkah yang sama. Parti pemerintah di Jerman mengumumkan sokongan terhadap larangan media sosial manakala Presiden Perancis Emmanuel Macron menggesa larangan untuk kanak-kanak bawah 15 tahun. Di United Kingdom, Keir Starmer berusaha melaksanakan larangan media sosial secara menyeluruh. Greece, Filipina, Indonesia, Singapura dan Jepun juga telah meneruskan undang-undang pengesahan identiti dalam talian yang serupa. Ketika ramai melihat usaha itu sebagai perkara positif, ada yang bersikap sebaliknya. Seperti disuarakan wartawan dari Amerika Syarikat Taylor Lorenz dalam tulisannya di The Guardian, 2 Mac lalu. Beliau mendakwa larangan penggunaan media sosial yang didakwanya ke atas sebahagian besar rakyat negara terbabit sebenarnya membuka jalan kepada era pengawasan besar-besaran dan penapisan meluas, sekali gus menyumbang ‘kemelesetan kebebasan bersuara global’. Lorenz mempersoalkan mekanisme untuk pemantauan umur pengguna media sosial yang akhirnya membawa kepada pencerobohan data peribadi. Dalam usaha melindungi kanak-kanak di ruang digital, Malaysia tidak wajar terperangkap dalam logik songsang yang menyamakan keselamatan dengan pengawasan menyeluruh. Naratif itu perlu diperbetulkan. Keselamatan kanak-kanak dan pengawasan massa buka perkara sama, dan menyamakan kedua-duanya hanya mengaburkan perbincangan dasar yang sepatutnya lebih berfakta. Dalam konteks Malaysia, kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak dalam talian bukan sesuatu yang abstrak. Kes jenayah seksual kanak-kanak, eksploitasi digital dan aktiviti ‘grooming’ telah berulang kali dilaporkan. Ibu bapa dan pendidik semakin sedar bahawa risiko di alam siber tidak lagi terhad kepada kandungan, tetapi juga interaksi. Hak kanak-kanak bukan sekadar hak untuk bersuara atau mengakses maklumat, tetapi juga hak untuk dilindungi daripada bahaya. Prinsip ini selari dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang turut mengiktiraf tanggungjawab negara untuk melaksanakan perlindungan khas kepada golongan bawah umur, termasuk dalam persekitaran digital. Sebahagian pengkritik berhujah tiada bukti kukuh media sosial menyebabkan krisis kesihatan mental dalam kalangan remaja. Namun, tumpuan kepada statistik kesihatan mental semata-mata mengecilkan skop masalah sebenar. Risiko dihadapi kanak-kanak bukan hanya kemurungan atau keresahan, tetapi pendedahan awal kepada pornografi, pemangsa seksual, penipuan dalam talian dan manipulasi psikologi. Satu lagi isu sering dibangkitkan adalah pengesahan umur yang dikaitkan denganbiometrik dan pengumpulan data sensitif, seolah-olah ia satu-satunya pilihan yang ada. Hakikatnya, teknologi dan dasar awam menawarkan pelbagai pendekatan, termasuk pengesahan berasaskan pihak ketiga. Di Malaysia, kerajaan sedang melaksanakan regulatory sandbox atau medan uji bersama dengan platform media sosial untuk mengenakan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu. Kerajaan juga menetapkan akaun media sosial untuk pengguna bawah 16 tahun dikendali ibu bapa. Ia menekankan konsep kebertanggungjawaban penjaga bukan hanya meletak pemantauan kepada pihak berkuasa semata-mata. “Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika menekankan mekanisme itu. Akhirnya, persoalan utama bukan sama ada keselamatan kanak-kanak penting, tetapi sama ada kita sanggup membincangkannya secara jujur dan berimbang. Menolak semua bentuk intervensi atas nama kebebasan mutlak hanya meninggalkan kanak-kanak terdedah kepada risiko yang semakin kompleks. Melindungi kanak-kanak di alam digital tanggungjawab bersama. Ia boleh dilakukan tanpa menjadikan masyarakat sebagai negara pengawasan, asalkan dasar dirangka dengan teliti, telus dan berlandaskan prinsip hak asasi yang seimbang. Keselamatan kanak-kanak dan kebebasan awam bukan musuh, jika kita memilih menggubalnya dengan bijaksana. Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: