Dari anak presiden PAS ke mufti termuda, Fauwaz kenang raya bersama Fadzil Noor
2026-03-22 - 01:20
Selepas kira-kira 10 bulan memegang jawatan mufti, Fauwaz Fadzil mengakui kehidupannya jauh lebih sibuk berbanding sebelum ini. PETALING JAYA: Aidilfitri yang disambut umat Islam akan sentiasa menggamit kenangan mufti Wilayah Persekutuan terhadap arwah bapanya, bekas presiden PAS Fadzil Noor. Ketika kecil, rumah mereka riuh dipenuhi tetamu kerana Fadzil yang ketika itu Ahli Parlimen Pendang dan ketua pembangkang aktif dalam politik serta dakwah. “(Ketika raya) Ramai orang datang rumah. Dia (ayah) orang politik. Pengalaman saya banyak melihat kesibukan dia. Ramai orang (lain ada) pengalaman dengan ayah, tapi saya banyak tengok dia sibuk,” kata Fauwaz, 45, dalam temu bual FMT. Sebagai mufti paling muda dalam sejarah negara, Fauwaz berkata pengalaman membesar dalam suasana itu sedikit-sebanyak membentuk caranya melihat tanggungjawab terhadap masyarakat. Katanya, Fadzil bukan sahaja pemimpin tetapi ilmuwan mempunyai pemahaman mendalam mengenai agama dan politik, selain pemikiran terbuka serta sederhana. “Ayah ilmuan syariah dan ilmu politik. Dia faham agama dengan baik dan belajar dengan ulama besar. Orang yang belajar dengan ulama besar biasanya mempunyai pemikiran global, tidak taasub dan sederhana dalam tindakan. “Beliau juga mempunyai aura kepimpinan yang kuat, pandai berpidato serta menguasai bahasa Melayu dan Arab. Itu antara perkara yang membuatkan saya kagum dengan minda futuristiknya,” kata bapa seorang anak itu. Selain pengaruh bapanya, Fauwaz berkata pemikirannya turut dipengaruhi sarjana kontemporari seperti Yusuf al-Qaradawi dan gurunya Ali al-Qaradaghi. Menurutnya, pendekatan tokoh tersebut yang menekankan pemikiran ketamadunan, holistik dan konsep agama yang memudahkan masyarakat banyak mempengaruhi caranya melihat isu semasa. Fauwaz berkata, bapanya mendidik anak-anak dengan pendekatan tegas tetapi tidak mengongkong, sebaliknya memberi ruang untuk mereka berfikir dan membuat pilihan sendiri. Fadzil meninggal dunia pada 2002 ketika Fauwaz berusia 21 tahun. Nasihat paling diingatinya ialah sentiasa bertakwa kepada Allah dan istiqamah di jalan yang benar. Fauwaz berkata, beliau pernah bercita-cita menjadi penulis, namun akhirnya memilih jalan akademik dan melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Mesir selama hampir sedekad selepas berangkat ke negara itu pada usia 19 tahun. Kini, selepas kira-kira 10 bulan memegang jawatan mufti, beliau mengakui kehidupannya jauh lebih sibuk berbanding sebelum ini. “Sekarang banyak terlibat dengan urusan negara, arah negara kita dan destinasi umat Islam. Sekarang lebih tenang dan lebih berhati-hati berbanding dulu. “Kalau dulu mungkin boleh cakap sahaja. Sekarang bahasa kita dipegang oleh mahkamah, pemimpin negara dan masyarakat. Kalau dulu boleh buat pandangan, tetapi sekarang ada pemegang taruh. Bukan kerana takut, tetapi takut melanggar kod etika,” katanya. Beliau berkata, amanah sebagai mufti membawa tanggungjawab besar kerana ia melibatkan urusan agama bagi pihak Yang di-Pertuan Agong serta memberi kesan kepada masyarakat dan negara. “Saya bukan hanya dipertanggungjawabkan di dunia, malah akhirat,” katanya yang menghasilkan kira-kira 35 buku. Bagi Aidilfitri tahun ini, Fauwaz menyambutnya di Kuala Lumpur kerana kekangan tugas dan memaklumkan kebiasaannya akan menikmati hidangan seperti nasi tomato dan ayam sambal yang menjadi kegemarannya.