TheMalaysiaTime

DAP gesa tubuh RCI siasat dakwaan pegawai SPRM terbabit pakatan ambil alih syarikat

2026-03-05 - 02:23

Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP mengadakan mesyuarat bulanannya malam tadi. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: DAP menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit pakatan memaksa pengambilalihan syarikat. Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook, berkata itu antara tiga keputusan penting dibuat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat bulanannya malam tadi. “Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan RCI bagi menyiasat secara meyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan. Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendakwa beberapa pegawai SPRM terbabit dalam pakatan untuk memaksa pengambilalihan syarikat. Laporan itu mendakwa rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk menekan eksekutif menjual saham dalam syarikat disasarkan. Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menafikan dakwaan itu yang disifatkannya tidak berasas dan menggesa pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis. Pengasingan kuasa peguam negara, pendakwa raya CEC DAP menyokong keputusan kerajaan merujuk rang undang-undang (RUU) pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas. Loke berkata, DAP komited memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses pelantikan peguam negara serta pendakwa raya. Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menganggotai Jawatankuasa Parlimen meneliti RUU itu. “DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak berkompromi dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa serta menyokong penuh agenda memerangi rasuah.” Sementara itu, CEC juga kecewa atas kegagalan Dewan Rakyat meluluskan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun. Menurut Loke, RUU itu perlu dibentangkan semula pada sidang Parlimen akan datang bagi memastikan agenda reformasi institusi dapat direalisasikan.

Share this post: