Dakwaan cubaan jatuh kerajaan: Siasatan hendaklah profesional, tegas AGC
2026-02-27 - 15:03
Pihak didapati terlibat dalam cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara hendaklah dipertanggungjawabkan, tegas AGC. PETALING JAYA: Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang, tegas Jabatan Peguam Negara (AGC). AGC mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Khalid Ismail berhubung siasatan polis ke atas dakwaan wujudnya cubaan tersebut. Tegasnya, siasatan hendaklah dijalankan secara menyeluruh, profesional, dan bebas daripada sebarang campur tangan; dan AGC akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses perundangan yang sewajarnya dapat dilaksanakan selaras Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. “Sebarang keputusan berhubung pendakwaan akan dibuat secara bebas dan objektif, berdasarkan fakta, keterangan serta pertimbangan undang-undang,” menurut kenyataan. Khalid hari ini mengumumkan polis sedang menyiasat dakwaan seorang individu berpengaruh tempatan dan agensi media antarabangsa berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara. Siasatan dibuat selepas polis menerima laporan polis mengenai dakwaan itu semalam. Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14B Kanun Keseksaan iaitu terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen. Polis tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa terbabit. Menyusuli perkembangan itu, Na’imah Abdul Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata beliau terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan. Na’imah turut menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai ‘melucukan’ dan tidak masuk akal. Dakwaan itu timbul susulan laporan berita Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mendedahkan asetnya secara terbuka. Azam menafikan dakwaan itu dan telah menyaman Bloomberg bagi ganti rugi berjumlah RM100 juta. Dalam artikel berasingan, Bloomberg mendakwa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan bagi memberi tekanan kepada pengurusan syarikat supaya menjual saham dalam syarikat sasaran. SPRM menafikan dakwaan itu. Na’imah, 67, sedang berdepan pertuduhan di mahkamah kerana gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.