Dakwaan Bersatu-PH jalin hubungan rapat demi jejas keharmonian PN, kata Muhyiddin
2026-03-16 - 06:34
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana peringkat parti. PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan parti itu sedang menjalin hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH). Beliau menyifatkannya dakwaan liar tidak berasas serta berniat jahat untuk menjejaskan keharmonian dalam Bersatu dan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN). Menurutnya, perkara itu juga tidak pernah dibincangkan mana-mana peringkat parti, termasuk Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang menentukan dasar serta hala tuju parti. “Bersatu mempunyai prinsip perjuangan jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat. “Kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti lain adalah berpandukan prinsip jelas ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook. Atas prinsip sama juga, Muhyiddin berkata, Bersatu mengasaskan PN bersama PAS, sebelum disertai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). “PN wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan Bersatu tidak pernah berganjak daripada pendirian ini. Fokus Bersatu pada masa ini adalah memperkukuhkan parti dan memperkuatkan PN dalam menghadapi PRU16.” Semalam, bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin mendakwa ada kumpulan dalam parti itu mahu membawa Bersatu lebih dekat dengan PH. Beliau dilaporkan berkata, kumpulan itu membabitkan individu mempunyai kaitan dengan PKR tanpa menamakan pihak dimaksudkannya.