Dakwa kos naik hingga 30%, KPDN panggil persatuan kedai mamak
2026-03-28 - 09:20
KPDN berkata pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bertujuan mendapatkan bukti serta data sokongan berkait dakwaan kos naik antara 10% hingga 30%. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memanggil Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan kenaikan kos operasi sehingga 10% hingga 30%. Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata langkah itu bertujuan mendapatkan bukti serta data sokongan kukuh terhadap dakwaan tersebut. Katanya, KPDN komited bekerjasama dengan industri dalam mencari penyelesaian termasuk meneliti faktor rantaian bekalan, kos input, dan tekanan global yang memberi kesan kepada pengusaha. “Namun, kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang pelarasan harga kepada pengguna mesti berasaskan kos sebenar dan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya. “KPDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat unsur pencatutan atau kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pendekatan kerajaan adalah jelas iaitu terbuka bekerjasama dengan industri, namun pada masa sama kekal komited melindungi kepentingan pengguna secara tegas dan konsisten. Sebelum ini, Prema memaklumkan pengusaha restoran berdepan kenaikan kos operasi antara 10% hingga 30% susulan tekanan ekonomi global. Presiden Mohamed Mosin Abdul Razak, berkata kenaikan itu dipengaruhi gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik serta ketidaktentuan ekonomi antarabangsa. Menurutnya, kenaikan bukan sahaja melibatkan bahan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran, malah turut membabitkan pembungkusan, gas memasak serta kos utiliti. Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan kos, pengusaha berusaha mengekalkan harga makanan melalui langkah seperti menyerap sebahagian kos dan mengoptimumkan operasi, namun memberi bayangan pelarasan harga mungkin tidak dapat dielakkan jika tekanan kos berterusan.