Dah guna semua saluran dalaman, kata LGE susulan teguran Loke
2026-03-21 - 10:21
Lim Guan Eng kata beliau tidak akan keluarkan kenyataan terbuka berkait isu cukai tanah sebelum pertemuan dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow. PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendedahkan beliau sudah menggunakan semua mekanisme dalaman bagi menyelesaikan isu kenaikan cukai tanah, sebelum mengkritik Ketua Menteri Chow Kon Yeow secara terbuka. Menuju ertemuan antara beliau dan Chow yang sedang diusahakan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Lim berkata beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka atau mengadakan sidang akhbar bagi pihak pemilik tanah yang terkesan. “Sejak kenaikan cukai tanah pertama kali dicadangkan pada tahun lepas, saya menggunakan semua mekanisme dalaman dengan kerajaan negeri dan ketua menteri sebelum menyatakan ketaksetujuan secara terbuka,” katanya di Facebook. Dalam pada itu, Lim berkata pejabat Ahli Parlimen dan Adun beliau di Bagan dan Air Putih tetap sedia membantu pemilik tanah merayu kenaikan cukai tanah tersebut, termasuk mengisi borang rayuan. “Setakat ini, kedua-dua pejabat saya telah membantu sehingga 800 pemilik tanah,” katanya. Terdahulu, Loke mengumumkan satu pertemuan antara Lim dan Chow akan diatur untuk menyelesaikan perkara ini secara baik, dan mengarahkan mereka menghentikan perbalahan terbuka yang disifatkan sebagai ‘tidak sihat dan tidak sesuai’ untuk menangani perbezaan berhubung dasar awam.