TheMalaysiaTime

Cubaan seludup RM750,000 vape ke negara jiran gagal

2026-03-23 - 03:50

Komander Briged Tenggara PGA Ahmad Radzi Hussain berkata 1,800 peranti rokok elektronik serta 3,800 kartrij cecair berkapasiti 30ml yang keseluruhan berjumlah 114 liter ditemui dalam sebuah stor. KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok elektronik atau vape bernilai RM750,000 disyaki cuba diseludup ke negara jiran dalam operasi di Taman Bahagia, di sini, Rabu lepas. Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain, berkata Ops Taring Wawasan Kelantan itu dijalankan Batalion 8 PGA dengan kerjasama Jabatan Kastam Kota Bharu dan Bahagian Siasatan Jenayah Tumpat. Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira 2.30 pagi di sebuah flat, seorang lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan cuba membuka sebuah stor. “Lelaki itu melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, manakala pemeriksaan lanjut dalam stor menemui 1,800 peranti rokok elektronik serta 3,800 kartrij cecair berkapasiti 30ml setiap satu dengan jumlah keseluruhan 114 liter,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, kes itu diserahkan kepada kastam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Dalam kes berasingan, beliau berkata, 14 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan dua tekong darat warga tempatan ditahan di Kampung Chat, Tumpat kira-kira 5.30 pagi hari sama. “Semunya ditahan ketika menaiki dua kenderaan dan pemeriksaan mendapati 14 warga Myanmar itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.” Berdasarkan siasatan awal, dua tekong terbabit disyaki menerima upah RM500 bagi setiap perjalanan membawa warga asing ke Johor. Katanya, 20 telefon bimbit dan dua kenderaan yang semuanya dianggarkan bernilai RM170,000 disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Share this post: