TheMalaysiaTime

Chow akan serah laporan kenaikan cukai tanah P Pinang kepada Loke

2026-03-22 - 03:40

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berjanji akan mematuhi arahan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook untuk berhenti berbalah secara terbuka dengan Lim Guan Eng. PETALING JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan menyerahkan laporan kenaikan cukai tanah negeri itu kepada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook untuk menjelaskan pendiriannya berhubung pertikaian secara terbuka dengan pendahulunya, Lim Guan Eng. Chow mengucapkan terima kasih kepada Loke kerana campur tangan dan mengatur pertemuan antara beliau dengan Lim dan berjanji akanmematuhi arahannya untuk berhenti berbalah secara terbuka. “Saya akan sediakan laporan berhubung pelaksanaan kadar cukai tanah baharu yang berkuat kuasa 1 Jan lalu kepada Loke. “Saya juga akan mematuhi arahan setiausaha agung DAP untuk tidak membincangkan isu ini dalam media bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap parti, kepimpinan dan kerajaan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pemilik tanah terjejas masih boleh merayu terhadap kenaikan cukai tanah dengan mengisi borang di pejabat daerah dan tanah. Semalam, Loke menegur Lim dan Chow kerana berbalah secara terbuka yang disifatkannya “tidak sihat dan tidak sesuai”. Menteri pengangkutan itu mengkritik Lim mengambil pendekatan “sangat tidak wajar” terhadap isu itu, dengan mengatakan beliau sepatutnya memahami kepentingan mengekalkan disiplin parti. Beliau berkata, Chow perlu memberi perhatian serius terhadap kebimbangan dibangkitkan kerana ia membabitkan kepentingan awam dan mencerminkan rungutan pelbagai pihak berkepentingan. Lim mempertahankan kritikannya terhadap Chow, dengan berkata beliau hanya berbuat demikian selepas menggunakan semua mekanisme dalaman. Bekas setiausaha agung DAP itu turut berjanji akan berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu sehingga pertemuan dengan Chow dan Loke diadakan.

Share this post: