Chong pertahan kenyataan berkait subsidi selepas dikritik Akmal
2026-03-25 - 03:21
Semalam, Dr Akmal Saleh mengkritik kenyataan Chong Zhemin yang menyifatkan cadangan menggunakan keuntungan Petronas untuk menampung subsidi bahan api secara menyeluruh sebagai tidak wajar dan berisko membebankan kerajaan. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin mempertahankan kenyataannya yang keuntungan Petronas wajar dianggap sebagai kekayaan strategik negara, bukannya dibelanjakan untuk subsidi bahan api secara menyeluruh. Mengulas kritikan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, wakil rakyat DAP itu berkata setiap dasar mesti berasaskan kemampuan fiskal sebenar dan kemampanan jangka panjang, bukan dipandu retorik emosi semata mata. Beliau menyifatkannya perbandingan dengan 2008 atau 2011 tidak tepat kerana mengabaikan perubahan besar dalam struktur ekonomi dan tahap penggunaan bahan api negara. “Pada tahun 2008, penggunaan harian petrol dan diesel dianggarkan sekitar 1.2 juta hingga 1.4 juta tong sehari manakala hari ini telah meningkat kepada sekitar 1.8 juta hingga 2.0 juta tong sehari, iaitu peningkatan lebih 30%. “Dengan tahap penggunaan yang jauh lebih tinggi hari ini, mengekalkan model subsidi pukal yang menyeluruh seperti dahulu akan menyebabkan beban fiskal jauh lebih besar berbanding masa lalu,” katanya dalam kenyataan. Semalam, Akmal mengkritik kenyataan Chong yang menyifatkan cadangan menggunakan keuntungan Petronas untuk menampung subsidi bahan api secara menyeluruh sebagai tidak wajar dan berisko membebankan kerajaan. Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Urimai P Ramasamy susulan lonjakan harga minyak akibat perang Iran. Penutupan Selat Hormuz selepas serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel awal bulan ini menyebabkan harga minyak mentah meningkat kepada sekitar USD100 setong. Berhubung dakwaan kerajaan menganggap subsidi sebagai beban, Chong menegaskan Putrajaya tidak pernah menafikan keperluan membantu rakyat tetapi persoalannya berkait kemampanannya dan ia perlu dibuat secara tepat. Menurutnya, subsidi bahan api telah meningkat daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada RM3.2 bilion sebulan bersamaan kira kira RM38 bilion setahun. “Sekiranya harga minyak global meningkat kepada USD120 atau USD150 setong, jumlah ini boleh melonjak kepada antara RM50 bilion hingga RM80 bilion setahun. “Tanpa reformasi dan penambahbaikan, beban ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat sendiri,” katanya yang turut menekankan sistem penyaluran subsidi perlu melindungi masa depan ekonomi negara.