TheMalaysiaTime

Chegubard dipecat Bersatu

2026-03-18 - 15:40

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dipilih sebagai ketua Bersatu Port Dickson pada November 2024. PETALING JAYA: Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali Chegubard dipecat parti. Beliau dimaklumkan mengenai pemecatan itu oleh setiausaha Lembaga Disiplin Bersatu melalui WhatsApp pada 6 petang hari ini. “Ternyata parti tidak lagi memperjuangkan isu rakyat, parti yang presidennya mementingkan hanya kelompok tertentu, yang mengugut semua orang supaya mengikut telunjuk pejabat presiden semata-mata,” katanya kepada FMT. Badrul yang dipilih sebagai ketua Bersatu Port Dickson pada November 2024, berikrar untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan memerangi rasuah. Sebelum ini, beliau adalah ahli PKR namun dipecat pada 2016, kemudian menyertai Bersatu pada 2020. FMT menghubungi Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, untuk pengesahan. Terdahulu, Badrul mendedahkan menerima notis tunjuk sebab daripada lembaga disiplin parti pada 10 Mac berhubung beberapa dakwaan, termasuk tuduhan mencemarkan imej dan nama parti. Beliau diberi tempoh sehingga semalam untuk menjawab notis itu, namun enggan berbuat demikian kerana menganggap perkara yang dibangkitkan ‘tidak masuk akal’. Badrul berkata, situasi itu seolah-olah menggambarkan parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan. Perebutan kepimpinan antara Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan bekas timbalannya, Hamzah Zainudin, menyebabkan ketua pembangkang itu dipecat pada 13 Feb. Beberapa pemimpin Bersatu lain turut dipecat dan digantung selepas penyingkiran Hamzah.

Share this post: