TheMalaysiaTime

Cerpen Hari Raya dari tahun 1941

2026-03-26 - 01:10

Ada sebuah cerpen oleh pengarang bernama Mufrih, ditulis dan diterbitkan pada tahun 1941 di dalam sebuah majalah berjudul ‘Pedoman Berhari Raya’. Cerpen ini bertajuk ‘Hadiyyah Hari Raya’. Tidak banyak yang diketahui mengenai pengarang ini, mahupun latar belakang penulisan cerpen tersebut. Akan tetapi satu hal yang pasti adalah cerpen ini terbit ketika Perang Dunia Kedua sedang mulai memuncak. Tentera Jepun memasuki Malaya menerusi Kota Bharu, Kelantan pada 8 Dis 1941 dan mara ke Singapura dengan pantas. Jepun menjejaki pulau selatan itu pada 8 Feb 1942. Siaran cerpen ini pada tahun tersebut tentu menarik untuk direnungi. Makanya untuk membaca cerpen oleh Mufrih berjudul ‘Hadiyyah Hari Raya’ ini kita perlu menyemat dalam benak yang cerpen ini dikarang dalam suasana gawat, ketidaktentuan dan penuh pengharapan. Tentu juga cerpen ini adalah satu rakaman yang memberikan kita gambaran suasana berhari raya di tahun tersebut. Cerpen ini mengisahkan Azizah seorang isteri yang sedang kesedihan dan kegelisahan kerana wang simpanannya hanya tinggal dua ringgit sahaja, sedangkan esok adalah Hari Raya. Tentu di tahun 1941, nilai dua ringgit itu masih besar. Azizah sedang risau kerana dia mengharap untuk memberi hadiah kepada suaminya, Aziz sempena Aidilfitri. Usaha untuk menyimpan wang sebetulnya agak suntuk memandangkan gaji Aziz itu hanyalah dua puluh ringgit, dan itu hanya cukup-cukup untuk sepasang suami isteri yang belum punya anak seperti mereka. Tradisi Azizah dan Aziz adalah bertukar-tukar hadiah setiap raya, Azizah tidak memberi tumpuan kepada perhiasan rumah mahupun kuih raya. Ini kerana kedua-duanya hampir tiada tetamu, kecuali anak-anak jiran yang bertandang untuk mengecap coklat dan gula-gula. Azizah bersungguh mencari sesuatu buat suaminya. Hasratnya adalah rantai emas untuk dijadikan pengikat yang padan dengan muka jam milik Aziz. Akan tetapi dengan wang dua ringgit, Azizah tahu ia tidak mungkin dicapai. Akal punya akal, Azizah akhirnya membuat keputusan untuk menjual rambutnya yang panjang mengurai. Konon, rambut Azizah memang dicemburui dan memang ditagih ramai wanita lain untuk dijadikan rambut palsu. Pun Azizah khuatir tindakannya itu akan mengakibatkan Aziz kecewa-hampa memandangkan itulah juga titik kejelitaan di mata suaminya. Namun, Azizah tetap nekad kerana padanya Hari Raya perlu bertukar hadiah dengan suami tercinta, dan itulah sumber kegembiraan mereka. Saya petik seperenggan dari cerpen yang saya bahaskan ini: “Dari situ Azizah dengan bertudung kepala pergi ke kedai tukang emas, memperhatikan barang yang telah diangan-angankannya hendak dibeli kerana hadiyyah. Apa dia? Iaitu seutas rantai emas yang dicadangkannya untuk rantai jam suaminya yang dikasihi itu. Pada akhirnya dibelinyalah rantai itu daripada kedai yang tersebut lalu baliklah ia ke rumahnya dengan hati yang suka ria apabila memandang kepada hadiah yang tentu sekali menyukakan hati suaminya itu. Tetapi duka nestapa manakala memandang kepada mahkotanya yang telah hilang daripada kepalanya, ditakuti menjadi suatu kemarahan suaminya pula.” Selesai mencukur rambut, dan menjual rambut itu dengan harga enam ringgit, Azizah bergegas mencarikan rantai emas untuk dipasangkan pada muka jam milik Aziz kelak. Sebaik itu juga Azizah terus pulang ke rumah menanti dalam debar apakah perasaan dan tanggapan Aziz melihat kepalanya yang sudah botak licin itu. Pada jam 7 malam, selesai bertugas, Aziz pun pulang dan tentulah beliau terperanjat melihat kepala isterinya sudah licin tidak berambut. Azizah dengan segera memujuk Aziz, memberitahu dengan lemah lembut yang rambutnya akan tumbuh kembali, tetapi hadiah yang diberikannya itu lebih mustahak sempena hari raya. Suspen cerpen ini nampaknya meleset, Aziz tidak pun marah. Sebetulnya hati Aziz hancur luluh kerana dia telah membelikan isterinya sikat emas dan alat solek mahal yang kena dengan keayuan isterinya itu. Dalam rasa terkilan, Azizah menunjukkan hadiah yang dibeli iaitu rantai emas untuk jamnya Aziz. Ternyata Aziz pula telah menjual muka jam tersebut untuk membelikan sikat emas buat Azizah. Maka kiranya masing-masing menjual barang berharga masing-masing untuk menggembirakan hati. Cerpen ini tidak berakhir dengan marah atau emosi antara kedua-duanya. Melainkan mereka menginsafi apa yang telah dilakukan. Kedua-duanya kemudian berpakat untuk menjual hadiah yang tidak diperlukan itu, dan dengan wang tersebut menyumbang derma kepada perjuangan tentera Melayu yang sedang berdepan dengan musuh ketika perang ini. Saya kutip dari cerpen ini: “Aziz: ‘Sebenarnya adinda susah payah kita ada jua benda yang hendak dimakan dan dapat jua peluang kita bersuka ria. Tetapi beberapa banyak di sana orang yang seperti kita jua tetapi tak dapat bersuka ria, seperti orang yang sakit di dalam kampung kusta, orang yang sedang berperang di medan peperangan kerana membela keamānan dan hendak menghapuskan kezaliman, begitu jua tentera-tentera Melayu yang mengawal Malaya ini siang, malam, di laut, di darat bersusah payah kerana hendak mengekalkan kita di dalam bersuka ria dan aman makmur.” “Azizah: “Ha’a, ya abang. Kalau begitu ambillah kesemua barang-barang ini jualkan, kemudian kita jadikan hadiah Hari Raya kita berdua kepada derma kusta, derma kelab dan keraian tentera Melayu dan derma pasukan penyelamat jiwa yang malang di dalam peperangan ini. Tetapi belilah sedikit gula-gula esok untuk dibahagikan kepada budak-budak.” Wang baki dari hasil jualan itu dibelikan gula-gula untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak yang mampir berhari raya di rumah mereka. Dalam erti kata lain mereka tetap mempertahankan niat kegembiraan dan keinginan saling ‘memberi’. Akhbar kejiranan memuji kedermawanan mereka berdua dan memuji-muji pasangan suami isteri itu kerana mencintai nusa watan dan kerana berhari raya dengan cara yang betul. Memang sedikit lucu membaca cerpen dari tahun 1941 ini. Tentu sahaja cerpen Melayu sebelum kemerdekaan tepu dengan unsur didaktik. Ia bermaksud karya sastera diketengahkan dengan elemen mendidik yang kuat dan kadang-kala serasa menggurui. Cerita selalunya tidak begitu penting, yang paling utama adalah ‘nasihat’ atau ‘mesej pengajaran’ yang ingin diutuskan. Makanya kita dapat membaca bagaimana Azizah dan Aziz menyedari tindak-tanduk mereka yang dapat dikatakan keterlaluan, dan tidak perlu pun dilakukan. Keinsafan itu kini bertukar menjadi kesedaran di mana mereka ingin menukar kegembiraan hari raya itu menjadi tenaga yang lain pula. Sumber kegembiraan mereka yang saling memberi itu nampaknya ‘naik makam’ iaitu mereka kini memberi kepada tujuan dan matlamat yang lebih luhur dan besar, iaitu untuk jihad mempertahankan tanahair. Juga mereka kini berkongsi kegirangan Hari Raya dengan kanak-kanak yang memerlukan. Membaca cerpen ‘Hadiyyah Hari Raya’ dari tahun 1941 membawa kita kepada satu keinsafan lain di tahun 2026. Hari ini kita juga sedang menyambut hari raya dalam gawat. Seharusnya Hari Raya kita disambut dengan keadaan paling memadai dan dalam keadaan sangat berpada. Perang Ramadan yang sedang berlaku antara blok Amerika Syarikat, Israel dan sekutunya di negara Teluk dengan Iran yang banyak membela Palestin harus diinsafi. Kerajaan telah pun mengumumkan untuk menghentikan semua jamuan dan rumah terbuka sempena hari raya. Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga mengingatkan rakyat agar menyimpan, menabung dan berwaspada kerana keadaan ekonomi selepas ini pasti sengit dan getir lantaran perang semakin berlanjutan. Mengetahui kewujudan cerpen ‘Hadiyyah Hari Raya’ dari tahun 1941 sebegini, seharusnya mendorong kita merenung diri juga di tahun 2026. Hari Raya kita di tahun 1941 dan 2026 tidak banyak beza. Tentu kita juga mesti bersederhana, malah sejujurnya istilah bersederhana pun masih terlalu sederhana. Sewajarnya Hari Raya ini kita memberi tumpuan kepada keadaan umat Islam. Blok umat Islam sedang berdepan dengan musuh paling jahat dalam sejarah moden manusia, tidak lain tidak bukan ia adalah Zionis. Memang, sesetengah pemerintah negara Islam seperti di Teluk tanpa malu berpihak kepada Israel. Tetapi saya yakin, sekiranya Mufrih pengarang ‘Hadiyyah Hari Raya’ menulis pada tahun 2026, tentu sahaja watak Azizah dan Aziz akan hujungnya memberi derma kepada Iran. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: