Cedera ditimpa kipas siling jatuh, murid terima ganti rugi RM6,000
2026-03-26 - 10:21
Mahkamah Majistret Selama mendapati risiko kipas siling jatuh boleh dijangka secara munasabah. (Gambar fail) KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selama di Perak memerintahkan kerajaan dan empat pihak membayar ganti rugi RM6,000 kepada seorang murid perempuan Tahun 2 yang cedera selepas kipas siling tercabut serta menimpanya dalam kelas. Majistret R Prabakaran membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Januari 2024 melalui bapa mangsa terhadap guru besar sekolah rendah terbabit, pegawai pendidikan daerah Larut Matang dan Selama, pengarah pendidikan Perak, ketua pengarah pendidikan dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga kelima. Mahkamah mendapati defendan pertama hingga keempat gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan kipas siling itu dalam keadaan selamat dan disenggara dengan baik. Ia merangkumi ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan dialami plaintif yang kini berusia 12 tahun susulan kecederaan itu, tetapi mahkamah menolak tuntutan bagi ganti rugi khas, punitif dan teladan. Dalam kejadian 10 pagi 18 Okt 2022, seorang murid perempuan patah jari kiri apabila kipas siling dalam kelasnya di sebuah sekolah rendah di Selama terjatuh lalu menimpa mangsa dan difahamkan tiga lagi murid berumur lapan tahun turut cedera ringan. Mahkamah menerusi alasan penghakiman perbicaraan penuh Isnin lalu mendapati risiko kipas siling dipasang atas ruang pembelajaran murid jatuh boleh dijangka secara munasabah kerana ia peralatan berat yang bergantung kepada struktur pemasangan dan penyelenggaraan berterusan. “Kegagalannya tidak berlaku secara luar biasa tanpa sebarang punca, tetapi lazimnya berkait dengan faktor seperti penyelenggaraan tidak mencukupi, kehausan komponen atau kecacatan pemasangan. Oleh itu, risiko kipas siling bermasalah sehingga boleh jatuh adalah risiko secara munasabah boleh dijangka pihak sekolah. “Keduanya, saksi defendan pertama (SD1) (guru besar sekolah plaintif) cuba bergantung kepada amalan pemeriksaan ‘lihat dan dengar’ oleh guru bagi memastikan jika terdapat kerosakan pada kipas siling, di mana jika terdapat bunyi mencurigakan atau keadaan kelihatan tidak teratur baru laporan dibuat,” kata majistret. Mahkamah turut mendapati defendan menyatakan langkah munasabah diambil untuk memastikan kipas yang jatuh disenggara dengan baik dan insiden itu berlaku tiba-tiba serta tidak dapat dijangka. “SD1 juga memberikan keterangan kipas itu telah disenggara dan wujud satu laporan penyelenggaraan rutin kipas di sekolah berkenaan. Namun demikian, laporan tersebut tidak dikemukakan kepada mahkamah. “Bukan itu sahaja, SD1 turut memaklumkan pihak sekolah telah melaporkan insiden kipas jatuh kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Larut Matang dan Selama, dengan satu laporan insiden tersebut dikeluarkan JKR. Bagaimanapun, laporan itu juga tidak dikemukakan kepada mahkamah.” Prabakaran memutuskan dokumen itu sangat penting kerana ia mampu menjelaskan punca sebenar kipas siling jatuh pada hari kejadian. Dalam kes ini, majistret turut memutuskan kecederaan dialami plaintif adalah patah tulang metakarpal kedua tangan kiri (jari kedua tangan kiri) serta kecederaan tisu lembut pada bahagian dada tengah. “Kecederaan tersebut disokong keterangan saksi plaintif pertama (SP1), iaitu doktor yang merawat plaintif. Mahkamah menerima keterangan SP1 dan berpuas hati kecederaan dialami akibat langsung insiden kipas siling yang jatuh menimpa plaintif. “Mahkamah juga mengambil kira keterangan SP1 bahawa plaintif telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut.”