TheMalaysiaTime

Campur tangan insurans dalam rawatan pesakit langgar undang-undang

2026-02-04 - 06:06

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad timbul kebimbangan campur tangan pengendali insurans, takaful dan pentadbir pihak ketiga dalam pengurusan rawatan yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal doktor di hospital swasta. (Gambar Freepik) KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan sebarang tindakan menggugat kebebasan pengamal perubatan dalam melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit boleh ditafsirkan tidak konsisten dengan peruntukan undang-undang. Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dipandang serius susulan kebimbangan campur tangan pengendali insurans, takaful dan pentadbir pihak ketiga (TPA) dalam pengurusan rawatan yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal doktor di hospital swasta. Beliau berkata, sebarang bentuk campur tangan sedemikian bercanggah peruntukan bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menjamin tanggungjawab profesional pengamal perubatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit. “KKM memainkan peranan aktif menerusi Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan (GMC), platform melibatkan pelbagai pemegang taruh, termasuk Bank Negara, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, wakil syarikat insurans, pengendali takaful dan TPA bagi membincang serta mencari penyelesaian terhadap isu dibangkitkan. “Ia sebuah jawatankuasa untuk membincang serta mencari penyelesaian tuntas bagi usaha yang dibangkitkan bersama pemegang taruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Share this post: