TheMalaysiaTime

Cadangan PAS terajui PN Selangor pandangan peribadi, kata pesuruhjaya

2026-03-12 - 14:14

Pemuda PAS Selangor sebelum ini mencadangkan pesuruhjayanya, Ab Halim Tamuri, sebagai pengerusi baharu PN Selangor. SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS Selangor sekadar menyuarakan pandangan peribadi apabila mencadangkan PAS menerajui Perikatan Nasional (PN) Selangor, menurut pemimpin parti itu. Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, beberapa kali menegaskan kepada pemberita bahawa pandangan Sukri Omar bukan pandangan rasmi parti. “Pemuda ada cadangkan tapi itu pandangan peribadi, bukan pandangan PAS Selangor. Bukan pandangan rasmi, itu pandangan peribadi dia,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa parti. Ahad lalu, Sukri mencadangkan PAS menerajui PN Selangor sambil menamakan Halim sebagai pengerusi baharu, menggantikan Azmin Ali dari Bersatu yang melepaskan jawatan pada Disember. Azmin menuruti langkah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pengerusi PN. Menurut Sukri, PN perlukan ‘nafas baharu’ dan Halim mempunyai pasukan yang berpengalaman dalam pentadbiran Selangor seperti bekas exco Iskandar Abdul Samad dan Zaidy Abdul Talib. Pada ketika Pemuda PAS Selangor menanti pelantikan pengerusi baharu, Halim hari ini berkata masih belum ada berita tentang pengganti Azmin. “Kita tak tahu siapa lagi. Tak ada nama lagi. Lantikan atas mesyuarat PN pusat. Kita ikut sahaja,” katanya. Dalam pada itu, timbalannya, Shafie Ngah, memaklumkan pimpinan pusat PN akan membuat keputusan berhubung pengerusi baharu PN Selangor pada Sabtu. “Tanpa pengerusi PN Selangor, tak boleh buat apa-apa keputusan,” katanya. Majlis tertinggi PN akan bersidang pada Sabtu.

Share this post: