Cadangan MB Perak dari PAS bakal uji hubungan dengan Bersatu, kata penganalisis
2026-03-26 - 01:50
PAS dilihat lebih yakin dan bersedia berdepan pilihan raya bagi DUN Perak berbanding Bersatu, menurut penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. PETALING JAYA: Perak akan menjadi ujian terbaharu hubungan antara PAS dan Bersatu apabila timbul cadangan lima pemimpin parti Islam itu berpotensi dipilih menteri besar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang PRU16, kata penganalisis. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri turut memberi amaran kesannya itu boleh melarat ke peringkat nasional jika isu berbangkit termasuk berkait ‘poster boy’ untuk PN di Perak gagal ditangani sebaiknya. Menurutnya, polemik itu boleh berlaku memandangkan Perak sering dikaitkan sebagai ‘negeri Bersatu’, merujuk kepada pentadbiran Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar dari 2018 sehingga 2020. “Perak kini menjadi medan ujian paling pedih buat PN, Bersatu yang gagal membina kepercayaan berdepan PAS yang semakin yakin mahu menguasai. “Jika retakan ini tidak ditangani dengan bijak PN bukan sahaja kehilangan Perak, malah kehilangan kredibiliti sebagai alternatif nasional,” kata pemerhati politik dari Global Asia Consulting itu kepada FMT. Menurut Ahmad Zaharuddin, keyakinan PAS dan tampil lebih bersedia itu mungkin berdasarkan pengalamannya pernah menjadi sebahagian pentadbiran Pakatan Rakyat dari 2008-2009 serta kerajaan campuran bersama Umno serta Bersatu dari 2020-2022. “Ia membuktikan keupayaan beradaptasi dalam gabungan politik kompleks. Walaupun kerajaan itu runtuh, pengalaman itu memberi PAS keyakinan bahawa mereka mampu menguasai pentadbiran negeri sekali lagi,” katanya. Kelmarin, Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak Nurhafizul Badrul Hisham menamakan lima pemimpinnya sebagai calon berpotensi menjadi menteri besar Perak jika PAS menang pilihan raya peringkat DUN pada PRU16. Beliau menamakan Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Pembangkang DUN Perak Razman Zakaria, Adun Selama Mohd Akmal Kamarudin, Adun Kamunting Mohd Fakhrudin Abdul Aziz dan Adun Manjoi Hafez Sabri. Menurut Nurhafizul, calon berpotensi itu menunjukkan PAS Perak mempunyai barisan kepimpinan berwibawa dan bersedia menggalas tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberi mandat. Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berkata cadangan untuk PAS menerajui Perak itu disifatkan tekanan berterusan yang boleh mengakibatkan hubungan dengan Bersatu berisiko semakin buruk. “Platform perbincangan yang masih ada hari ini mungkin sekadar ‘wayang’ politik sedangkan pergolakan hubungan antara PAS dengan Bersatu lebih menonjol berbanding persahabatan sejati,” katanya. Beliau juga hairan mengapa nama Razman ‘terselit’ memandangkan Adun Gunung Semanggol itu telah kalah dalam beberapa saman fitnah. “Calon beginikah hendak diangkat sebagai penerajui kerajaan negeri sebagai menteri mewakili PN? Selain itu, Hafez tidak mempunyai pengalaman pentadbiran negeri dan baru pertama kali menang sebagai wakil rakyat. “Idris pula lebih layak sebagai pemimpin nasional berbanding turun pangkat untuk menerajui kerajaan negeri memandangkan beliau sebelum ini menteri,” katanya.