TheMalaysiaTime

Cabaran Hamzah timbulkan dilema buat kepimpinan Bersatu

2026-03-11 - 02:24

Penganalisis kata membiarkan Hamzah Zainudin ‘memaksa’ arah Bersatu akan melemahkan institusi parti dan merosakkan moral akar umbi. PETALING JAYA: Cabaran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, supaya Bersatu memecat penyokongnya dipercayai untuk menimbulkan dilema buat parti tersebut, menurut penganalisis. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya cabaran itu akan menguji kepimpinan Bersatu sekarang sama ada masih boleh mengurus dan mengawal parti, dengan kehadiran penyokong Hamzah dalam kalangan mereka. “Jika Bersatu bertindak keras terhadap penyokong Hamzah, ia berisiko menolak sebahagian pemimpin atau akar umbi keluar parti. “Kalau tindakan terlalu berhati-hati, ia memberi gambaran pengaruh Hamzah masih signifikan dalam parti,” katanya kepada FMT. Selain pemecatan akan membolehkan wakil-wakil rakyat yang menyokong Hamzah mengekalkan kerusi masing-masing, Syaza berkata ia juga menyorot perhatian kepada kepimpinan Muhyiddin sendiri. “Kalau mereka tak pecat apa usaha untuk memastikan penyokong-penyokong Hamzah ini kembali menyokong Muhyiddin?” katanya. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting mengingatkan bahawa membiarkan Hamzah ‘memaksa’ arah Bersatu akan melemahkan institusi parti dan merosakkan moral akar umbi. “Ia bukan sekadar retorik tetapi percubaan untuk menekan parti agar tunduk kepada pengaruh peribadi beliau,” katanya kepada FMT. Zaharuddin berkata Bersatu perlu menegaskan bahawa kesetiaan kepada parti lebih utama daripada individu, namun hal ini terletak pada akar umbi. “Jika akar umbi benar-benar mahu melihat parti ini terus hidup, mereka mesti berdiri teguh bersama kepimpinan, bukan tunduk kepada cabaran seorang yang sudah kehilangan legitimasi,” katanya. Kelmarin, Hamzah mencabar Bersatu memecat penyokongnya dalam parti itu, mengatakan pemecatan lebih senang bagi Bersatu berbanding menekan ahli-ahli yang menyokongnya. Semalam, Bersatu mengeluarkan notis bahawa keahlian Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin digantung selama dua penggal pemilihan, dan melucutkan semua jawatan dipegang. Tindakan ini menyusuli surat tunjuk sebab, dilaporkan kerana menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu kepada Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen. Mereka juga hadir pada perhimpunan menyokong Hamzah pada 14 Feb, sehari selepas Ahli Parlimen Larut itu dipecat parti. Mereka boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan. Kiandee berkata sekadar menggantung keahlian ‘menimbulkan tanda tanya’ memandangkan beliau menganjurkan program ‘reset’ yang diketuai Hamzah, selain menghadiri pertemuan bersama Presiden Umno Zahid Hamidi di Bangkok. Mas Ermieyati pula sudah menjangkakan Bersatu tidak akan memecat beliau, maka ia tidak memberi apa-paa kesan kepadanya, katanya.

Share this post: