Bunuh anjing liar guna mercun, pemilik restoran didenda RM2,000
2026-02-27 - 05:04
Mahkamah Majistret Batu Gajah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda RM2,000. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Batu Gajah mendenda seorang pemilik restoran RM2,000 selepas mengaku bersalah membunuh seekor anjing liar menggunakan mercun bulan lalu. Berita Harian melaporkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin memerintahkan Wong Phan Sang, 64, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. Pesara itu didakwa membunuh seekor anjing liar di depan sebuah restoran di Jalan Seroja, Taman Pusing Baru di Batu Gajah kira-kira 7.30 malam 28 Jan lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Monisha Pandey memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana kes penganiayaan haiwan semakin meningkat kebelakangan ini. Tetapi, peguam Choong Hui Yean memohon hukuman berbentuk denda RM500 atas beberapa faktor, selain mendakwa tertuduh ialah mangsa yang berulang kali dikejar anjing liar itu.