Bukan sekadar tambah, KPM perlu pastikan guru kompeten, kata ahli akademik
2026-02-02 - 00:16
Minggu lalu, KPM mengumumkan pengambilan 20,000 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG9 baharu secara kontrak bagi memenuhi keperluan guru sebagai persediaan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 pada sesi akademik 2027. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pengambilan 20,000 guru baharu untuk menampung peningkatan murid pada tahun depan perlu diselari dengan usaha memastikan pendidik terbabit kompeten, fleksibel dan mempunyai kepakaran tertentu, kata ahli akademik. Wan Marzuki Wan Jaafar dari Universiti Putra Malaysia turut mencadangkan penempatan guru baharu terbabit tidak boleh bersifat umum sebaliknya berpandukan kepadatan murid, bilangan kelas, kadar mobiliti penduduk dan keperluan khas. Menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan (KPM) itu, beliau berkata keperluan sekarang bukan kepada bilangan guru mencukupi tetapi kemampuan pendidik memandangkan perubahan generasi kini. “Tetapi keperluan guru kompeten, fleksibel dan bersedia mendidik generasi pasca-pandemik yang berbeza cara berfikir, belajar dan berinteraksi,” katanya kepada FMT sambil menggesa strategi pendidik disusun secara holistik untuk mengiringi usaha meningkatkan jumlah guru. Menurut Wan Marzuki, antara strategi boleh dilakukan termasuk pemadanan guru mengikut kepakaran contohnya guru literasi awal, pedagogi digital serta pendidikan inklusif dan latihan semula berterusan. “Selain itu kerjasama dengan universiti bagi memastikan latihan praperkhidmatan guru selari dengan keperluan sebenar sekolah.” Minggu lalu, KPM mengumumkan pengambilan 20,000 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG9 baharu secara kontrak bagi memenuhi keperluan guru sebagai persediaan kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 pada sesi akademik 2027. Sebelum ini wujud keresahan daripada beberapa pihak berhubung dasar baharu secara pilihan itu akan menyebabkan kekurangan guru dan bilik darjah. Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengambilan murid Tahun 1 dari kanak-kanak seawal enam tahun ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 pada 20 Jan lalu. Mengulas lanjut, Wan Marzuki berkata penempatan guru mengikut keperluan lokaliti mampu mengurangkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar serta memastikan sumber manusia diagih lebih adil dan berkesan. “Selain itu, penggunaan teknologi pembelajaran hibrid boleh membantu mengurangkan beban kelas besar tanpa menjejaskan kualiti pembelajaran,” katanya. Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berkata KPM perlu sentiasa meningkatkan pemantauan perubahan jumlah murid untuk memastikan unjuran keperluan guru boleh dibuat dengan lebih tepat. “Selain itu pelaksanaan kelas secara efektif dengan memaksimumkan penggunaan ruang dan pelaksanaan pembelajaran terbeza iaitu guru menyesuaikan kaedah mengikut tahap penerimaan murid. “Data pengambilan guru perlu juga diselaras supaya guru yang diambil ialah berkepakaran mengikut opsyen mereka bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian, selain mengelakkan lambakan guru tidak kritikal bidangnya,” katanya. Effendi berkata peranan pembantu guru juga boleh dimanfaatkan dengan mengambil alih tugas pengurusan seperti pengurusan fail, data kehadiran, dan kebajikan murid. “Guru dapat memaksimumkan masa interaksi dalam bilik darjah bagi sesi pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna,” katanya.