TheMalaysiaTime

Bukan jual, tapi 19 ekor gajah dipindahkan, kata Perhilitan

2026-03-27 - 11:10

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim berkata gajah itu dipindahkan secara pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung penjualan 19 ekor gajah kepada pihak tertentu yang disifatkannya mengelirukan dan tidak benar. Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata gajah itu tidak dijual, sebaliknya dipindahkan secara pinjaman bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan. “Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap usaha konservasi negara. “Tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak menyebarkan maklumat palsu,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pemindahan itu sebahagian daripada usaha strategik Perhilitan dalam memastikan kelangsungan spesies, jika berlaku penularan wabak atau bencana di habitat asal, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar serta memperkukuh program konservasi melalui kerjasama dengan pihak berkaitan. Menurutnya, pendekatan ini juga penting sebagai strategi “insurans populasi”, di mana penempatan sebahagian individu di lokasi berbeza dapat mengurangkan risiko kehilangan populasi secara besar-besaran akibat faktor luar jangka seperti penyakit berjangkit, kemusnahan habitat atau bencana alam. Jelasnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, khasnya dalam bidang pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan, pemakanan serta pengurusan habitat secara moden, yang secara langsung menyokong usaha pemuliharaan spesies gajah lebih berkesan. Katanya, semua gajah dipindahkan akan terus berada di bawah pemantauan dan kawal selia Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Perhilitan, termasuk melalui rekod pengurusan, pemantauan kesihatan serta laporan berkala daripada pihak penerima.

Share this post: