Bukan hanya harga minyak, kerajaan nilai kesan konflik Asia Barat secara menyeluruh
2026-03-12 - 04:35
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata jawatankuasa khas bagi menilai impak ekonomi, kesan konflik Asia Barat akan mengadakan mesyuarat bersama Jemaah Menteri esok. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Kerajaan akan menilai konflik Iran-Amerika Syarikat (AS) secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut kenaikan harga minyak, tetapi juga kesan terhadap inflasi, rantaian bekalan serta kos pengangkutan. Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata bagi memastikan kesan konflik itu dapat ditangani dengan berkesan, kementerian juga akan menilai impak jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Katanya, antara elemen yang terkesan secara langsung ialah bekalan minyak serta harga pasaran dan perkara itu lebih rapat dengan Kementerian Kewangan kerana melibatkan isu subsidi dan mekanisme fiskal. “Namun, kesan konflik ini tidak terhad kepada kenaikan harga minyak semata-mata. Kesannya jauh lebih besar dan bergantung kepada intensiti serta tempoh konflik berkenaan. “Oleh itu, Kementerian Ekonomi beri perhatian secara menyeluruh kepada isu inflasi, rantaian bekalan serta kos pengangkutan agar ekonomi negara kekal stabil,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Akmal berkata jawatankuasa khas bagi menilai impak ekonomi kesan konflik Asia Barat akan mengadakan mesyuarat bersama Jemaah Menteri esok. Jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan. Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta Bank Negara Malaysia. “Dengan input-input daripada kementerian-kementerian yang berkaitan akan kita kemukakan ke mesyuarat esok untuk diperhalusi dan dibincangkan tindakan seterusnya,” katanya. Katanya, setiap kementerian berkaitan mempunyai peranan operasi dan mitigasi masing-masing, manakala Kementerian Ekonomi berfungsi sebagai pemantau utama bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara terus terpelihara. Beliau juga beri peringatan keadaan tidak semestikan kembali normal selepas konflik berakhir kerana ada perkara yang memerlukan masa lebih panjang untuk pulih. Sementara itu, mengenai sistem MyRMK yang dilancarkan hari ini, Akmal berkata ia akan diintegrasikan dengan dua platform lain, iaitu MyProjek dan MyBelanjawan, bagi membolehkan pemantauan RMK13 dibuat secara lebih menyeluruh, telus dan responsif. MyRMK diwujudkan bagi memantau pelan pelaksanaan dasar merangkumi perincian KPI nasional, strategi dan inisiatif yang telah digariskan dalam RMK13. Pada masa sama, membantu agensi pelaksana merancang dan menyusun pelaksanaan program secara lebih teratur dan menyeluruh.