TheMalaysiaTime

Budak perempuan 3 tahun ditemukan maut dalam kolam

2026-03-24 - 13:01

Menurut polis, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan dan siasatan lanjut dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian. (Gambar PDRM) PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kolam air buangan dekat kediamannya di Teluk Intan, semalam. Ketua Polis Hilir Perak, Chua Kok Lian, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 9.24 malam. Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7 malam apabila mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. “Pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kolam terbabit tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti penghadang atau penutup, dengan anggaran kedalaman kira-kira empat kaki,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama. Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya yang sedang mengemas rumah selepas mengadakan satu majlis. “Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya. Justeru, beliau menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan rapi, khususnya di kawasan berisiko seperti kolam, longkang dan parit. “Langkah pencegahan seperti pemasangan penghadang atau pagar keselamatan perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. “Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Share this post: