TheMalaysiaTime

Budak maut minum methadone akibat cuai, ibu bapa dibebaskan

2026-02-14 - 09:26

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berucap pada Program Walkabout Langkah Selamat ‘Santuni Komuniti Kajang’ di Stesen MRT Stadium Kajang hari ini. KAJANG: Kes seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai diberikan methadone berpunca daripada kecuaian, kata Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar. “Siasatan awal setakat ini memperlihatkan tidak ada unsur dengan sengaja, mungkin lebih kepada kecuaian,” katanya selepas Program Walkabout Langkah Selamat ‘Santuni Komuniti Kajang’ di Stesen MRT Stadium Kajang. Rabu lalu, polis dilaporkan menahan seorang wanita 35 tahun selepas seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun maut, manakala dua adiknya berusia sembilan dan lima tahun dalam keadaan kritikal, dipercayai diberikan methadone oleh ibu kandung mereka. Shazeli berkata, ubat itu milik bapa kanak-kanak terbabit untuk tujuan rawatan. Jelasnya, dua lagi adik mangsa yang masih dirawat di hospital menunjukkan perkembangan positif. Mengulas tindakan terhadap ibu bapa mangsa, beliau berkata, mereka dibebaskan dengan jaminan polis supaya boleh menguruskan kebajikan keluarga. Mengulas kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Shazeli berkata, siasatan lanjut masih diteruskan selepas empat individu dibebaskan atas perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam. “Ini isu pencerobohan dan keengganan berpindah keluar. Jangan dipolitikkan atau dimainkan sentimen agama dan kaum.” Khamis lalu, polis menahan empat lelaki berusia 26 hingga 39 tahun dan merampas sebuah jengkaut susulan aduan seorang lelaki tempatan berhubung perobohan sebuah kuil tidak mengikut peraturan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427, 295, 504 dan 447 Kanun Keseksaan.

Share this post: