Budak lelaki 6 tahun ditemukan lemas dalam kolam air panas
2026-02-02 - 03:56
Ketua Polis Alor Gajah Ahmad Abu Bakar yang mengesahkan kejadian berkata siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak IPK Melaka. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dipercayai akibat lemas di kolam air panas, dalam kejadian di Alor Gajah, Melaka semalam. Mangsa sebelum itu dikatakan sedang bercuti bersama keluarganya sebelum ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri oleh orang awam, kira-kira 7.40 malam. Harian Metro yang memetik sumber melaporkan kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada Pasukan Rakan Komuniti (Parakom) selepas mangsa dilihat berada dalam kolam dewasa. “Pasukan yang tiba di lokasi segera mengeluarkan mangsa ke tempat selamat sebelum memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR). “Pasukan perubatan Hospital Alor Gajah yang tiba kemudian membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut. “Namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada jam 8.24 malam,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Ketua Polis Alor Gajah Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan. Beliau berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) IPK Melaka.