Budak 8 tahun maut, 4 ahli keluarga disiasat membunuh
2026-03-28 - 10:00
Ketua Polis Taiping Abdul Malek Ismail, berkata empat individu terdiri dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun ditahan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. PETALING JAYA: Empat ahli keluarga ditahan susulan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang maut akibat hentakan objek tumpul di kepala dan leher, dalam kejadian di Taiping. Ketua Polis Taiping Abdul Malek Ismail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Taiping. Katanya, mangsa dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada 12.43 tengah hari, Khamis. “Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya menurut Bernama. Susulan itu, Abdul Malek berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. Beliau berkata, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun, yang juga ahli keluarga mangsa ditahan bagi membantu siasatan. Semua suspek direman tujuh hari bermula 27 Mac.