TheMalaysiaTime

Budak 7 tahun tiba-tiba melintas maut dilanggar kereta

2026-03-25 - 02:20

Mayat budak lelaki berusia 7 tahun yang dilanggar kereta malam tadi dihantar ke Unit Forensic, HSAH, untuk tindakan lanjut. PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun maut dilanggar kereta setelah melintas jalan secara mengejut di Sungai Petani, malam tadi. Menurut Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan, anggotanya di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Muda menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dilanggar di Jalan Kota Kuala Muda. Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 9.23 malam, tambahnya. “Pemandu kereta terbabit dipercayai dari arah Kota Kuala Muda hendak menuju ke Pulau Sayak, namun ketika dalam perjalanan dan kenderaan sedang bergerak lurus, secara tiba-tiba kanak-kanak terbabit melintas secara mengejut dari arah kiri jalan ke hadapan laluan kereta berkenaan. “Akibat jarak terlalu dekat, pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar kanak-kanak terbabit,” katanya, lapor Buletin TV3. Budak lelaki yang cedera itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda. Hanyan berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.

Share this post: