TheMalaysiaTime

Budak 10 tahun korban terbaharu rabies di Sarawak

2026-03-21 - 07:11

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Feb lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Satu lagi kematian akibat rabies di Sarawak membabitkan kanak-kanak lelaki 10 tahun. Mangsa yang berasal dari Kuching meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu lalu. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Feb lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut. “Mangsa mula menunjukkan gejala kurang selera makan, muntah dan hidrofobia pada 11 Mac lalu. Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik pada 13 Mac, seterusnya dirujuk ke HUS pada hari sama,” katanya menurut Berita Harian. Jelasnya, ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies sebelum meninggal dunia 18 Mac lalu, menjadikan tiga kes rabies dicatatkan di Sarawak tahun ini. Sehingga kini, 93 kes rabies dalam kalangan manusia dikesan sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017 dengan 86 daripadanya membabitkan kematian.

Share this post: