Buat Fitree Dina, Aidilfitri jambatan taut 2 budaya
2026-03-22 - 02:21
Fitree Dina, bergambar bersama suami dan anaknya, pelajari bahawa walaupun tradisi Aidilfitri berbeza di Thailand dan Malaysia, semangatnya tetap sama. (Gambar Fitree Dina) PETALING JAYA: Buat Fitree Dina, ketibaan Hari Raya membawa makna yang lebih besar daripada sebuah perayaan; ia menandakan penyatuan dua budaya yang telah mewarnai kehidupannya. Membesar sebagai orang Islam di Songkhla, Thailand, beliau tergolong dalam komuniti minoriti di negara yang didominasi oleh penganut Buddha itu. Namun kini, sesudah berumah tangga dengan rakyat Malaysia dan membina kehidupan di sini, beliau merasai kemeriahan perayaan ini menerusi lensa yang berbeza, selaku sebahagian kelompok majoriti di Malaysia. Hari Raya telah menjadi jambatan yang menautkan kedua-dua dunianya, walaupun tradisi yang diamalkan tidak 100% serupa. “Di Thailand, rata-rata (orang Islam) akan luangkan masa di masjid selepas solat sunat (Hari Raya). Lazimnya ada juga jamuan untuk dinikmati bersama. Kanak-kanak pula akan beratur untuk dapatkan duit raya dan aiskrim. “Selesai di situ, ahli keluarga akan ziarahi pusara sebelum berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat,” kongsi Fitree bersama FMT Lifestyle. Masjid itu sendiri menjadi nadi utama sambutan tersebut. Menjelang Aidilfitri, komuniti setempat akan bergotong-royong menghias masjid tatkala debaran menantikan ketibaan Syawal kian dirasai. Fitree sambut Raya bersama keluarga mentua di Perlis. (Gambar Fitree Dina) Malah, di kawasan tertentu, pertandingan persahabatan turut dianjurkan untuk memilih masjid yang paling cantik dihias. Di Malaysia, Fitree mendapati rentak perayaan ini mempunyai kelainan yang tersendiri. “Orang ramai selalunya tunai solat di masjid sebelum terus ziarahi pusara, kemudian barulah pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga. “Selesai luangkan masa bersama keluarga, mereka akan berkunjung ke rumah saudara-mara,” katanya bagaimanapun mengakui, aturan sambutan Raya pastinya berbeza mengikut keluarga masing-masing. Satu lagi tradisi yang cukup unik di Malaysia, pada pandangan Fitree, ialah kemeriahan budaya rumah terbuka, yang mana keluarga meraikan tetamu sepanjang Syawal. Suasana sebegini amat jarang dilihat di Thailand. Di negara asalnya itu, tempoh sambutan lebih singkat, sehinggakan ada yang terus kembali bertugas selepas Hari Raya pertama. Konsep menggayakan pelbagai persalinan baju Raya juga menjadi suatu pengalaman baharu buat dirinya. Fitree bersama keluarganya sambut Hari Raya Haji di sebuah masjid di Thailand, di mana sambutannya lebih meriah. (Gambar Fitree Dina) “Di Thailand, kami selalunya hanya beli sepasang baju raya. Selepas bergelar isteri, suami pernah bertanya, ‘Awak nak pakai baju apa pula untuk Hari Raya kedua dan ketiga?’,” imbau wanita berusia 34 tahun itu sambil tertawa kecil. Kini, Fitree bersama suami dan anak perempuan mereka lazimnya akan pulang dari kediaman mereka di Pulau Pinang ke kampung halaman suaminya di Perlis bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga mentua. Namun, menjelang Hari Raya Haji, mereka sekeluarga akan merentas sempadan pulang ke Thailand, memandangkan kemeriahan perayaan tersebut biasanya lebih dirasai di sana. Merasai pengalaman menyambut Hari Raya di kedua-dua belah sempadan membuka mata Fitree tentang bagaimana tradisi mungkin berbeza, namun semangatnya tetap utuh, iaitu meraikan detik bermakna bersama insan tersayang. ‘Kita semua sama’ Perjalanan Fitree ke Malaysia bermula tatkala beliau berhijrah ke Pulau Pinang pada usia 19 tahun demi menuntut ilmu. Sebaik tamat pengajian, beliau memilih untuk terus bermastautin, mendirikan rumah tangga dan membina kehidupan di negeri utara yang kini bertakhta di hatinya. Menyelusuri pertembungan dua budaya ini mencoretkan pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi beliau sentiasa disambut dengan penuh kemesraan dan sikap terbuka di kedua-dua belah sempadan. Kembara hidup Fitree di Thailand dan Malaysia cermin semangat sebenar Aidilfitri, sarat dengan keterbukaan, sifat ihsan dan persefahaman. (Gambar Fitree Dina) “Bagi masyarakat di Thailand, kita semua tetap sama tanpa mengira perbezaan agama. Kita semua rakyat Thailand,” katanya. “Malah di sekolah, rakan-rakan beragama Buddha yang tahu saya sedang berpuasa amat hormati situasi saya, dan guru-guru turut izinkan saya berehat jika perlu.” Apabila Fitree berhijrah ke Malaysia, beliau turut disambut dengan nada keterbukaan yang sama, dengan rakan-rakan dan para pensyarah banyak membantunya membiasakan diri dengan persekitaran baharu pada fasa awal kehidupannya di sini. Lama-kelamaan, beliau semakin petah berbahasa Melayu. Walaupun mula mengenali bahasa tersebut sewaktu menuntut di sebuah sekolah agama di Thailand, kelancarannya semakin terasah sebaik sahaja bermastautin di Malaysia. Hari ini, Fitree mencoretkan bingkisan kembara dua budayanya menerusi TikTok, di mana beliau selesa berkongsi kosa kata asas bahasa Thai dan Melayu buat 376,000 pengikut setianya. “Apabila kita dalami suatu bahasa yang baharu, kita sebenarnya turut kenali budaya serta masyarakat baharu,” katanya. “Dari situlah kita belajar meraikan perbezaan sesama kita. Dan apabila kemahiran itu sudah sebati dalam diri, kita tidak lagi mudah hukum orang lain.” Sesungguhnya, kembara hidup Fitree merentasi Thailand dan Malaysia mencerminkan intipati sebenar sambutan Hari Raya itu sendiri – satu peringatan bermakna bahawa jauh dari sekadar adat resam dan bahasa, nilai yang paling hakiki ialah keikhlasan menyantuni satu sama lain dengan hati yang terbuka, sifat ihsan dan persefahaman. Ikuti perkongsian Fitree Dina di TikTok.